Pandemik COVID-19 yang melanda seantero dunia telah menyebabkan terciptanya pelbagai istilah baharu dalam komunikasi sehari-hari kita. Barangkali sesetengah istilah tersebut merupakan istilah biasa dalam bidang perubatan atau kesihatan, tetapi bagi masyarakat umum, istilah-istilah ini sesungguhnya agak baharu kerana tidak pernah digunakan sebelum ini.
Daripada “penjarakan sosial” kepada “penjarakan fizikal”, “penutup muka” kepada “pelitup muka”, “cecair pembasmi kuman” kepada “pensanitasi tangan”, kita juga sering mendengar frasa “memutuskan rantaian jangkitan”, “prosedur operasi standard” (SOP), “Perintah Kawalan Pergerakan” dan sebagainya. Namun begitu, yang menarik perhatian saya dan yang akan saya kongsi dalam artikel pada kali ini ialah kekeliruan pengguna bahasa antara frasa “melandaikan keluk jangkitan” dengan “melandaikan lekuk jangkitan”.
Kedua-dua frasa ini sering digunakan dalam pelbagai media, sama ada media cetak atau media elektronik, oleh penulis, wartawan atau netizen secara tidak konsisten. Sudah tentunya kekeliruan berlaku kerana ejaan dan bunyi kedua-dua patah perkataan ini, iaitu “keluk” dan “lekuk” hampir sama. Namun begitu, pada hakikatnya, kedua-dua patah perkataan ini berlainan maksud dan penggunaannya. Oleh sebab itu, setelah membaca artikel pada kali ini, diharapkan pembaca dapat menggunakan istilah dengan ejaan yang tepat.
Binaan istilah ini dalam bahasa Inggeris ialah “flatten the infection curve”, iaitu satu strategi untuk melambatkan kadar penularan COVID-19 supaya rantaian jangkitan dapat diputuskan sekali gus pandemik ini dapat diperangi dengan sepenuhnya. “Curve” di sini merujuk graf yang dilukis dalam bentuk lengkung dan padanan istilah yang tepat ialah “keluk”.
Merujuk Kamus Dewan Perdana, “keluk” bermaksud garis yang melengkung bentuknya dan biasanya dilukis pada graf, rajah dan lain-lain. Namun begitu, kealpaan pengguna bahasa tentang ketepatan dalam penggunaan bahasa telah mengakibatkan istilah ini ditulis sebagai “melandaikan lekuk jangkitan”. Padahal, jika kita merujuk Kamus Dewan Perdana, “lekuk” ini sebenarnya bermaksud bahagian sesuatu permukaan yang masuk ke dalam sedikit dan beberapa makna lain yang tidak merujuk graf.
Oleh sebab itu, marilah kita menjadi pengguna bahasa yang lebih peka, lebih berhati-hati dan sentiasa rajin merujuk kamus. Kesalahan yang kita lakukan akan mencerminkan ketidakprihatinan kita tentang penggunaan bahasa Melayu yang baku dan indah. Akhir kata, marilah kita berganding bahu untuk memikul tanggungjawab sosial supaya keluk jangkitan COVID-19 berjaya kita landaikan!
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustakan. Artikel ini ditulis oleh ALEX LEONG JUN WEI