
Pengguna bahasa Melayu sering keliru sama ada ejaan yang betul ialah “muhibah” atau “muhibbah”. Hal ini berkemungkinan pengaruh penggunaan ejaan lama sebelum ini kerana kata “muhibah” merupakan kata pinjaman daripada bahasa Arab.
Walau bagaimanapun, Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia (SERBBM) yang dirasmikan penggunaannya pada 16 Ogos 1972 tidak menyediakan aturan bagi membolehkan penggunaan huruf konsonan ganda seperti “bb”, “nn”, “ll” dan “ww” yang biasanya wujud dalam ejaan kata pinjaman daripada bahasa Arab.
Oleh itu, kata pinjaman bahasa Arab yang mengandungi huruf konsonan ganda dieja semula dengan huruf konsonan tunggal.
Sehubungan dengan itu, kata seperti “muhibbah”, “muballigh”, “sunnah” dan “tasawwuf” dalam ejaan lama telah dieja semula sebagai “muhibah”, “mubaligh”, “sunah” dan “tasawuf”. Oleh itu, ejaan yang betul ialah “muhibah” dan bukannya “muhibbah”.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Rabahyah binti Tahir.
Gadis 21 Tahun Disunting Kelab Bola Sepak Di India, Pertama Seakannya Oleh Wanita Malaysia

Sukan bola sepak kini tidak lagi dimarginalisasikan sebagai sukan untuk pemain lelaki sahaja. Kemaraan pemain wanita dari Malaysia dalam arena sukan bola sepak dilihat semakin ke mendapat perhatian ramai.
Buktinya, pemain bola sepak wanita 21 tahun bernama Nurul Azurin Mazlan telahpun disunting sebagai seorang penjaga gol oleh Misaka United FC, sebuah kelab bola sepak wanita dalam Liga Wanita Karnataka di India.
Impian tersebut bertukar menjadi realiti selepas dia menghantar resume kepada Misaka United FC apabila melihat ciapan di laman Twitter kelab itu yang sedang mencari pemain antarabangsa pada waktu itu.
Azurin tidak melepaskan peluang apabila diterima masuk dan telahpun ke sana baru-baru ini bagi bermain untuk musim 2021-2022.
Bukan saja Azurin dapat menggali pengalaman serta mencorakkan kariernya dalam sukan bola sepak.
Dia yang kini bergelar penjaga gol bagi pasukan bola sepak wanita kebangsaan juga tentunya akan membawa pulang pengalaman di India ini dan sama-sama mengejar kejayaan bersama pasukan Malaysia kelak.
Penyertaan gadis yang berasal dari Shah Alam ini sekaligus telah mencipta sejarah kerana dia merupakan pemain wanita pertama dari Malaysia yang memperolehi peluang beraksi di liga bola sepak luar negara.
Malah menurut kapsyen di akaun Instagram Misaka United FC, Azurin juga ialah pemain import pertama yang menandatangani kontrak bersama pasukan itu.
Amat membanggakan apabila Azurin telah berjaya memastikan gawangnya tidak ‘bocor’ pada penampilan sulung bersama Misaka United FC, awal minggu ini. Dalam perlawanan menentang Bengaluru Braves itu, mereka telah melakar kejayaan 4-0 dan ia dianggap sebagai langkah kanan terhadap permulaan karier bola sepaknya di India.
Dengan baki kontrak sehingga 31 Jan 2022 ini, REMAJA ingin mengucapkan all the best kepada Azurin untuk meneruskan rentak cemerlang apabila diturunkan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
[MAHIR BAHASA MELAYU] “Sejajar Tindakan” Atau “Sejajar Dengan Tindakan”

Dalam rencana yang disiarkan pada bulan Mac 2021 tentang penggunaan imbuhan “se-“, pembaca telah mengetahui bahawa kata adjektif yang berimbuhan “se-“ biasanya tidak boleh diikuti dengan kata sendi nama “dengan” atau “seperti”. Contohnya:
- Baju yang saya beli ini tidak semahal dengan baju yang engkau beli itu.
- Hang Jebat sehebat seperti Hang Tuah.
Kedua-dua ayat ini tidak gramatis kerana imbuhan “se-“ telahpun mendukung makna “sama”, maka perkataan “dengan” dan “seperti” sepatutnya digugurkan.
Namun demikian, dalam perkongsian kali ini, kita dapati bahawa sebenarnya bukan semua kata adjektif berimbuhan “se-“ tidak boleh diikuti “dengan”, malah sebenarnya ada kata adjektif berimbuhan “se-“ yang wajib diikuti “dengan”.
Cuba kita memperhatikan ayat yang berikut:
- Tindakan ini tidak selari SOP yang telah ditetapkan.
- Sejajar keputusan mesyuarat tersebut, kami akan mula melaksanakan program ini pada bulan ini.
- Guru mestilah menyampaikan pengajaran selaras standard pembelajaran dan standard kandungan yang ditetapkan.
- Reka bentuk itu dihasilkan seiring konsep sains dan teknologi.
- Keberanian yang ditunjukkan oleh remaja itu sesungguhnya tidak sepadan kekuatan fizikalnya.
Pasti kita berasa janggal membaca ayat (3) hingga (7). Hal ini kerana ayat ini semuanya tidak gramatis. Ayat ini dapat dibetulkan seperti ayat (8) hingga (12) yang berikut:
- Tindakan ini tidak selari dengan SOP yang telah ditetapkan.
- Sejajar dengan keputusan mesyuarat tersebut, kami akan mula melaksanakan program ini pada bulan ini.
- Guru mestilah menyampaikan pengajaran selaras dengan standard pembelajaran dan standard kandungan yang ditetapkan.
- Reka bentuk itu dihasilkan seiring dengan konsep sains dan teknologi.
- Keberanian yang ditunjukkan oleh remaja itu sesungguhnya tidak sepadan dengan kekuatan fizikalnya.
Persoalannya, bilakah kita perlu menggunakan “dengan”? Bagaimanakah kita menentukannya? Sebenarnya, jika kita menguasai golongan kata, perkara ini amat mudah sahaja. Kata “secantik” tidak boleh diikuti “dengan” disebabkan kata dasarnya, iaitu “cantik” merupakan kata adjektif.
Jika dibandingkan dengan kata “selari”, “sejajar”, “secocok”, “selaras”, “seiring”, dan “sepadan” pula, kita dapati bahawa kata dasarnya, iaitu “lari”, “jajar”, “laras”, “iring” dan “padan” bukan kata adjektif.
Kesimpulannya “dengan” perlu digunakan sekiranya kata dasarnya bukan kata adjektif. Jika kata dasarnya ialah kata adjektif, maka kata “dengan” atau “seperti” tidak boleh digunakan sesudahnya. Berfikirlah dengan teliti semasa menggunakan kata adjektif berimbuhan “se-“ kerana bukan selalunya “dengan” tidak diperlukan dan begitulah juga sebaliknya.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Alex Leong Jun Wei
Atlet E-Sukan ‘Chamack’ Peroleh Keputusan Cemerlang 8A SPM

Walaupun aktif dalam bidang e-sukan, namun ia tidak menghalang Muzaffar Zuhair yang merupakan atlet sukan elektronik FIFA termuda yang menerima status ‘Verified’ di Asia Timur mendapat keputusan cemerlang 8A dalam SPM 2020.

Antara pencapaian terbaik Muzaffar atau lebih dikenali dengan nama Chamack adalah menjadi Juara Kejohanan FIFA Peringkat Kebangsaan dan berada di kedudukan 100 pemain terbaik dunia FUT Weekend League. Dia juga sering muncul sebagai juara di setiap tournament yang disertainya.

Remaja berkesempatan menemu bual pemuda berusia 18 tahun ini tentang tip yang diamalkan untuk membahagikan masa antara pelajaran dan juga pembabitannya dalam e-sukan.
“Memandangkan waktu itu PdPR berjalan secara atas talian, saya biasanya memasuki kelas secara online pada waktu pagi sehingga tengah hari. Jadi saya mempunyai banyak waktu yang boleh saya gunakan untuk berlatih FIFA21,”
“Saya tetap menyertai pertandingan pada hujung minggu memandangkan tidak mempunyai kelas pada hujung minggu. Saya juga banyak melakukan latih tubi pada waktu senggang jika tidak berlatih FIFA,”
“Bagi saya, tidak susah untuk mengimbangi dua perkara ini cuma kebanyakan orang merasakan bermain game sudah cukup untuk buat kita berjaya dalam pelajaran. Ini adalah tanggapan yang sering kita dengar dan ianya tidak sepatutnya berada di dalam kotak pemikiran anak muda,” jelas Muzaffar.

Mula bermain permainan video secara kompetitif seawal usia 14 tahun, pelajar yang menuntut di SMK Aminuddin Baki ini mengakui pada mulanya pilihannya ini tidak dipersetujui oleh ibu bapanya, namun dia telah membuktikan dengan mendapat keputusan cemerlang dalam PT3.
“Pada awalnya, ibu bapa saya terutamanya ibu tidak begitu suka dengan keputusan saya untuk menceburi bidang e-sukan, tetapi selepas saya berjaya membuktikan beberapa kejayaan di dalam bidang e-sukan dan mendapat keputusan 8A PT3, ibu mula membuka mata dan memberi sokongan penuh kepada saya dari segi kewangan, motivasi dan juga doa,”
“Guru-guru di SMK Aminuddin pula sangat ‘sempoi’, mereka turut menyokong selepas saya berjaya memenangi banyak tournament tetapi mereka selalu menegaskan bahawa pelajaran adalah yang paling utama. Jadi saya selalu pegang kata-kata guru untuk dijadikan panduan supaya saya lebih berjaya di masa akan datang,” tambahnya lagi.
Tahniah sekali lagi kami ucapkan kepada Muzaffar Zuhair atas keputusan cemerlang SPM yang diperolehinya. Semoga terus sukses dalam pelajaran dan juga bidang e-sukan untuk mengharumkan nama negara di persada dunia.