[MAHIR BAHASA MELAYU] Penggunaan maha: “mahakarya” dan “Maha Kuasa”

Share

Murid: Cikgu, boleh saya tanya sesuatu?

Guru: Boleh.

Murid: Kita dapat lihat pada paparan media ejaan “maha” dalam frasa Yang Maha

Kuasa dieja dengan huruf besar, mengapa pula perkataan mahasiswa dan mahaguru dieja dengan huruf kecil pada pangkal katanya?

Persoalan ini sering diajukan murid, malah pengguna bahasa lain juga kurang pengetahuan mengenainya.  Menjawab kepada persoalan murid tersebut, bagaimana untuk kita membezakan penulisan “maha”

dan “Maha”?

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kata maha bermaksud “amat”, tersangat atau “paling”. Kata “Maha” perlu ditulis dengan huruf besar pada pangkalnya (misalnya Yang Maha Kuasa, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang) untuk merujuk kepada sifat atau gelaran khas bagi Allah. Manakala, kata “maha” yang ditulis dengan huruf kecil pada pangkal kata, boleh bergabung dengan kata nama am seperti;

maha + karya = mahakarya

maha + siswa = mahasiswa

maha +  guru  = mahaguru

Selain itu, penulisan sesuatu kata yang merujuk kepada Allah SWT mestilah tepat. Kita perlu menggunakan kata singkatan yang dibesarkan huruf awalnya dan disertakan dengan sempang sebelum singkatan tersebut. Misalnya dalam contoh di bawah:

  1. Aku panjatkan doa pada-Mu.
  2. Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur.
  3. Marilah kita memohon rahmat-Nya.
  4. Maha Suci-Mu.

Dalam keempat-empat ayat, singkatan ‘Mu’ dan ‘Nya’

perlu ditulis dengan huruf besar pada pangkal kata dan disertakan dengan tanda sempang sebelum singkatan kerana kata ‘Mu’  dan ‘Nya’ menggambarkan perwakilan Allah SWT.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Nor Fazilah binti Noor Din.

 

Published by
Penulis Jemputan