[MAHIR BAHASA MELAYU] Bertutur Dalam Sebutan Baku

Share

Sebutan baku dikenali sebagai sebutan piawai, seragam serta diiktiraf penggunaannya. Sebutan baku juga digunakan dalam situasi formal atau rasmi, seterusnya menjadi bahasa pentadbiran, sama ada dalam mesyuarat, taklimat, dan ucapan.

Menurut Awang Sariyan (1988), ahli-ahli bahasa bersependapat tentang dasar sebutan baku bahasa Melayu, iaitu sebutan bagi kata bahasa Melayu hendaklah berdasarkan sebutan fonemik atau sebutan berdasarkan ejaan, bukan berdasarkan kelaziman sebutan dialek Riau-Johor. Ketetapan ini telah dicapai dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kali Ke-3 (1956).

Dalam sebutan piawai bahasa Melayu, banyak kekeliruan atau kesalahan yang dilakukan oleh pengguna bahasa, misalnya sebutan kata “teknologi”. Ada anggapan bahawa sebutan “gi” dalam kata “teknologi” itu kelihatan janggal, namun hakikatnya “gi” dalam kata tersebut dilafazkan seperti ejaannya, bukan dengan sebutan “ji”. Dalam bahasa Melayu, umumnya satu huruf melambangkan satu bunyi. Huruf g tetap berbunyi g, bukan j. Oleh itu, kata “teknologi” diucapkan tek-no-lo-gi bukan tek-no-lo-ji.

Begitu juga dengan sebutan bagi kata “universiti”. Acap kali kita mendengar sebutan ini sebagai yu-ni-ver-si-ti,malangnya sebutan ini bukanlah sebutan standard. Sebutan baku bagi kata “universiti” ialah u-ni-ver-si-ti.

Hal ini kerana cara ejaan istilah atau perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris, yang dipentingkan bukanlah lafaz atau bunyinya, tetapi bentuk ejaan (visualnya).  Dalam bahasa Melayu, enam bunyi vokal dilambangkan oleh lima huruf [a], [e], [i], [o], dan [u].  Dalam situasi ini huruf [u] dibunyi dengan “u”  bukan “yu”. Oleh itu, ejaan dalam bahasa asal dipertahankan dalam bahasa Melayu dengan perubahan fonem atau pengguguran huruf dilakukan apabila perlu.

Perhatikan contoh yang berikut;

  • Kata institut disebut sebagai in-sti-tut BUKAN in-sti-tiut
  • Kata unit disebut sebagai u-nit BUKAN yu-nit

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja Bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh NOR FAZILAH BINTI NOOR DIN

Published by
Penulis Jemputan