
Kata “golongan” dan “gulungan” merupakan dua perkataan yang jelas berbeza bukan sahaja dari segi ejaan tetapi juga maksudnya. Walau bagaimanapun, pengguna bahasa Melayu kerap keliru tentang penggunaannya malah ada yang sewenang-wenangnya menggunakan kata “golongan” dan “gulungan” tanpa mengambil kira ketepatan penggunaan mengikut konteks yang betul.
Sehubungan dengan itu, kedua-dua perkataan tersebut berbeza makna kerana didasari oleh kata dasar yang berbeza, iaitu “golong” dan “gulung”. Kata “golongan” terbit daripada kata dasar “golong” yang menerima akhiran “-an”. Imbuhan akhiran “-an” membawa maksud hasil daripada melakukan maksud yang terkandung dalam kata dasar. Oleh itu, kata terbitan “golongan” bermaksud kumpulan atau kelompok, iaitu hasil daripada perbuatan mengelompokkan atau mengasingkan dalam beberapa kumpulan.
Berbeza pula halnya dengan kata “gulungan” yang terbit daripada kata dasar “gulung” yang bermaksud sesuatu yang dijadikan berbentuk bulat torak (bulat panjang seperti bentuk silinder) dengan melingkarkannya. Oleh itu, kata terbitan “gulungan” membawa maksud lipatan berbentuk bulat torak dan apa-apa yang sudah bergulung.
Oleh hal yang demikian, seharusnya kata “golongan” dan “gulungan” digunakan dengan betul mengikut konteks ayat.
Contoh penggunaan kata “golongan” dan “gulungan” dalam ayat.
- Golongan remaja merupakan pengguna media sosial yang aktif.
- Kita harus menyantuni golongan gelandangan kerana mereka juga insan yang ada hati dan perasaan.
- Gulungan tikar yang disandarkan pada dinding itu terjatuh.
- Adik menarik gulungan tisu dapur dengan segera untuk mengelap air teh yang tertumpah di atas meja makan.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Rabahyah binti Tahir.
UKM & SMK Cha’ah Juara Pertandingan Esei Majalah Remaja, Ketepi Lebih 500 Peserta

Selepas lebih sebulan Majalah Remaja bersama-sama rakan strategik Dewan Bahasa & Pustakan serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor melancarkan pertandingan mengarang esei bertemakan ‘Ceritakan Malaysia Anda’, akhirnya 10 orang pemenang utamanya telahpun diumumkan pada hari ini.
Pertandingan yang dibuka kepada pelajar sekolah menengah berusia 15 – 17 tahun dan pelajar prauniversiti/universiti berusia 18 -22 tahun ini adalah bersempena kempen patriotik ‘Saya #RemajaMalaysia’ yang dilancarkan oleh Majalah Remaja pada bulan Ogos dan September lalu.
Menariknya, meskipun negara sedang berada dalam musim wabak Covid-19, pertandingan ini menerima sambutan yang cukup menggalakkan daripada para pelajar. Sejumlah 525 penyertaan telahpun diterima oleh kami untuk diadili oleh pihak editorial Majalah Remaja dan wakil daripada Dewan Bahasa & Pustaka.
Dan Pemenangnya Ialah..
Bukan mudah bagi kami memilih hanya 5 orang pemenang bagi setiap kategori. Apapun, hasil kreativiti, seni penulisan dan idea yang dikarang oleh para pelajar telah kami teliti dengan cermat agar pemenang yang tersenarai pada edisi pertama ini adalah yang terbaik.
Bagi kategori Sekolah Menengah, tempat pertama dimenangi oleh Nur Isma Faqihah Binti Mohd Zulkifli dari Sekolah Menengah Kebangsaan Cha’ah, Segamat Johor.

ARTIKEL BERKAITAN: Ambil Masa Sejam, Pelajar Tingkatan 5 Dinobat Juara
Tempat kedua dimiliki oleh pelajar yang baru sahaja dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Pertandingan Debat Pendidikan (DeKan) 2020 semalam, Aiman Izdihar Bin Amran dari Sekolah Dato’ Abdul Razak, Negeri Sembilan. Tempat ketiga pula jatuh kepada pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmadshah, Sabah iaitu Nur Izzati Zahidah Md Asmara.


Dua kedudukan sagu hati dimiliki oleh Rabiatul Insyirah Ahmad Shah dan Nur Alya Nabihah Mohd Zaidi; masing-masing dari Sekolah Tun Fatimah, Johor. Mereka berdua diwakili oleh ibu bapa pada hari ini.


Tidak ketinggalan, Majalah Remaja turut memberikan penghargaan kepada sekolah yang telah menghantar penyertaan pelajar terbanyak pada kali ini. Dengan sejumlah 35 penyertaan, Sekolah Menengah Seksyen 24 (2) Shah Alam telahpun membawa pulang kategori tersebut dan diwakili oleh Puan Sufida.

*
Debaran turut dirasai bagi kategori Prauniversiti/Universiti pula. Juara menjadi milik pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Nur Farhan Hasbullah.
BACA LAGI: Esei ‘Curahan Hati’ Pelajar UKM Tarik Perhatian Juri

Kedudukan naib juara disandang oleh Muhammad Aziim Mohd Zolkfly (Universiti Utara Malaysia) manakala pemenang tempat ketiga menjadi milik Priiyalakhshmi A/P Kumarrajah dari Universiti Kebangsaan Malaysia.


Sukacita dimaklumkan bahawa pertandingan mengarang esei Saya #RemajaMalaysia ini telahpun menerima 66 penyertaan daripada pelajar bukan berbangsa Melayu dari seluruh negara. Ini adalah satu perkembangan positif yang menunjukkan bahasa kebangsaan semakin dikuasai dan dicintai oleh para pelajar sejagat.
Sementara itu, pelajar Sunway College, Abdul Halim Baruddin dan Muhammad Saifullah Muhamad dari Universiti Sains Islam Malaysia masing-masing menerima hadiah sagu hati.


Untuk pengetahuan, selain daripada hadiah wang tunai dan bahan bacaan yang disumbangkan oleh pihak Dewan Bahasa & Pustaka, para pemenang turut menerima trofi, sijil beserta produk tajaan Canon Malaysia, Summerie Malaysia, Good Virtues Co, innisfree Malaysia dan Marrybrown Malaysia.
Tahniah kami ucapkan kepada kesemua para peserta yang mempamerkan mutu penulisan yang cukup memberansangkan. Ini menandakan bahawa remaja pada era digital ini tetap mendahulukan kualiti dan skil penulisan yang mantap dan wajar dibanggakan.
Dari Graduan Kejuruteraan Ke Content Creator Berpengaruh, Ume Cikin Bukti Kejayaan Anak Muda Masa Kini

Dalam kepesatan dunia media sosial masa kini, ramai yang mencuba mencipta nama menerusi media sosial seperti Instagram, Facebook dan TikTok. Ada yang tampil dengan kandungan yang positif namun ada juga yang tidak kurang menyerlahkan kandungan berbaur negatif asalkan boleh menaikkan trafik ke profil mereka.
Ada yang menghasilkan konten semata-mata mahu tular, mereka mengatakan bad marketing is still good marketing. Namun sejauh mana kita sebagai penonton mahu menerima konten negatif?
Penulis percaya konten yang jelik tidak akan kekal relevan sebaliknya yang bermanfaat penuh informasi mampu kekal sebagai kandungan yang sentiasa ingin ditonton. Personaliti di sebalik penghasilan konten juga memainkan peranan penting.

Seperti wanita yang popular dengan gelaran Ume Cikin atau nama penuhnya Ume Nurashiekin M.Azhar, kandungan yang dipaparkan di media sosialnya cukup bersahaja dengan perkongsian-perkongsian resipi, cerita kembara, nasihat dan juga pelbagai lagi konten menarik. Sehingga kini dia sudah mengumpul lebih 139 ribu pengikut di Facebook dan 541 ribu pengikut di TikTok.
Merupakan graduan Kejuruteraan Pembuatan Robotik dan Automasi dari Universiti Teknikal Melaka (UTeM), dalam perkongsian di laman Facebooknya, dia pernah bekerja sebagai seorang kru restoran di sebuah restoran Jepun yang terletak di Aeon Kulai sekitar tahun 2017 sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur kerana mendapat tawaran kerja di bawah Skim Latihan 1 Malaysia bersama Tenaga Nasional Berhad.

Kini selesa bergelar Content Creator dan usahawan produk acar ikan masin, Ume baru-baru ini telah dianugerahkan gelaran Ikon Keusahawanan Pemasaran Digital Wanita sempena konvensyen Keusahawanan Teknikal Wanita (WTC) 2022 yang diadakan di Melaka. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Dalam temu bual bersama media, Ume bercerita tentang bagaimana dia menggunakan kuasa media sosial yang membantu dirinya menjana pendapatan mencecah RM30 ribu sebulan.
ARTIKEL BERKAITAN: Anak Malaysia Harumkan Nama Negara Di Persada Dunia. Cipta Rekod Baharu

“Platform itu sudah disediakan, kita yang kena corakkan mengikut apa yang kita mahukan. Memandangkan kita nak buat konten untuk orang ramai, jadi saya fikir, alang-alang nak buat, pada masa sama, saya boleh pasarkan produk yang bukan sahaja untuk jualan tetapi juga beri moral kepada orang ramai. Saya mahu orang yang menonton nampak nilainya, bukan sekadar konten kosong.
“Sebelum ini, saya hanya promosikan produk di Facebook dan Instagram, tapi macam slow, jadi saya cuba di TikTok pula. Mungkin hasil banyak berangan dan buat konsep seperti bercerita, penerimaan yang saya terima sangat baik,” ujar wanita yang petah berbicara ini.
Ume baru-baru ini menjadi bualan warganet apabila dia dipuji menjadi content creator yang bagus tanpa perlu menimbulkan kontroversi ataupun membuat aksi-aksi tidak senonoh untuk mengumpul pengikut.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Banggakan Sabah Sebagai Negeri Kelahiran Penyanyi Berbakat Malaysia, Adam Shamil Punya Impian Besar – Isu Digital Ogos 2023

Isi Kandungan
ToggleKetika penulis berkesempatan menemu bual figura muda yang seorang ini, ada keistimewaan yang dimiliki oleh anak jati negeri di bawah bayu, Sabah ini.
Adam Shamil, pendatang baharu yang bukan sekadar ‘menjual’ wajah di dunia media sosial, walakin jelas menggenggam bakat yang dikurniakan Ilahi buatnya.
Menginjak ke usia 28 tahun, ada matlamat yang ingin dilunaskannya dalam industri seni hiburan tanah air. Bertatih perlahan-lahan, lama kelamaan pasti jernih jua hasilnya. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023, Adam Shamil.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gaya FZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teks FATH ABU BAKAR jurufoto AKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan AYANG KAMELL dandanan CHE WAN persalinan SUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Nama Adam Shamil relatifnya sudah dikenali di negeri kelahirannya. Kini, tiba masanya untuk pengikut di Semenanjung Malaysia pula meminatinya. Berbekalkan kandungan-kandungan segar di media sosial sebagai seorang pempengaruh, nama Adam semakin masyhur.
Bagi Adam, terma ‘remaja’ bukan sekadar merujuk kepada usia semata. Sebaliknya, ‘remaja’ mewakili idea segar, satu perlambangan karakter dan personaliti menarik.
“Sudah semestinya, remaja membawa maksud luas. Dahulu bila sebut tentang ‘remaja’, usia seseorang dijadikan rujukan. ‘Sekiranya melebihi usia 26 tahun, masih remaja kah?’. Bagi saya pula, remaja kini merujuk kepada golongan muda yang berfikiran matang dan mampu mencetuskan idea baharu.
“Saya ambil contoh penyanyi tanah air, Aina Abdul. Walaupun usianya hampir mencecah 30 tahun, Aina dilihat mempunyai lebih ramai peminat dalam kalangan remaja. Bagi saya, asalkan seseorang itu mengetengahkan idea yang segar selain membawa imej untuk menarik perhatian remaja, ‘yes, you are remaja juga’. Remaja bukan sekadar umur, tetapi ia melambangkan karakter, imej dan personaliti,” katanya.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
Bangga membawakan identiti sebagai seorang anak jati Sabah di Semenanjung Malaysia, Adam menyifatkan rasa puas cukup terasa setiap kali membawa nama baik negeri kelahiran menerusi projek seninya.
“Sebagai seorang rakyat Sabah yang berusia 28 tahun, saya sangat berbangga dapat mengangkat nama negeri sendiri; bukan sahaja sebagai seorang penyanyi ‘baru nak up‘ tetapi juga sebagai seorang pengacara serta pempengaruh yang boleh membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada penonton yang menonton video saya,” ujarnya lagi.
Uniknya Sabah Terletak Pada Dialeknya
Sedia maklum, jika kita mengunjungi negeri Sabah, antara tarikan utamanya selain panorama indah dan barangan yang ditawarkan di sana adalah kepelbagaian lebih seratus etnik serta bahkan dialek yang membuatkan Sabah unik.
Adam sendiri memiliki darah kacukan tnik Sino-Kadazan mengalir di dalam dirinya. Kendatipun negeri Sabah berbilang etnik, warna kulit dan tempat tinggal, Adam menyifatkan masyarakat di sana hidup secara tenang dan harmoni.
“Di Sabah, dialek kami memang amat unik. Apabila bertutur dalam bahasa Melayu, kedengarannya berbeza jika dibandingkan dengan masyarakat di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Orang di Sabah memang bercakap laju (ketawa) tetapi kami masih memahami antara satu sama lain apabila berkomunikasi.
“Jika di Semenanjung, majoritinya terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India namun di Sabah, kami mempunyai lebih seratus etnik. Memang banyak! Itulah keunikan hidup secara harmoni di sini,” tuturnya.
Pengacaraan Jiwa Adam Shamil
Bagi anda yang merasakan suara perbualan Adam seakan biasa didengari, anda sama sekali tidak salah. Baru-baru ini, Adam ‘dilamar’ sebagai hos di majlis resepsi perkahwinannya di Kuala Lumpur.
Bagaikan satu mimpi, dia turut menyifatkan peluang itu sebagai satu pencapaian yang besar, membanggakan dan adalah sebuah batu loncatan buat dirinya dalam mengendali majlis-majlis berskala besar.
“Sebenarnya, saya memangnya tidak jangka akan mendapat peluang ini apabila Dr. Amalina sendiri yang approach menerusi Instagram. Saya amat terkejut tetapi peluang untuk mengacarakan majlis resepsi beliau dan pasangan tercinta jujurnya adalah di luar imaginasi saya.
“Ada juga saya bertanya, mengapa beliau memilih saya? Katanya, dia menerima cadangan daripada warganet siapakah pengacara majlis resepsi bersesuaian di Kuala Lumpur. Bagi saya, ia merupakan rezeki yang sama sekali tidak saya jangkakan.
“Istimewanya pada majlis Dr. Amalina, ia dihadiri oleh Pak Nil (Datuk Aznil Hj Nawawi) dan beliau sempat memberi pujian terhadap potensi saya. Ia sememangnya hari yang saya tidak akan lupakan,” katanya yang juga menjadikan Che Puan Sarimah Ibrahim bagi bahasa Inggeris dan Datuk Aznil Hj. Nawawi bagi bahasa Melayu sebagai idola dalam bidang pengacaraan.
“Saya mula menjinakkan diri dalam aliran pengacaraan sejak peringkat sekolah. Saya percaya, pengalaman mengajar kita dan idola yang saya sebutkan itu sedikit sebanyak memberikan inspirasi untuk menambah baik skil sendiri,” katanya.
“Mansau.. kalau orang Sabah tidak tahu, tidak sah!”
Bukan sahaja memiliki bakat pengacaraan, personaliti media sosial ini juga boleh menyanyi dengan baik ya!
Adam Shamil pernah meluncurkan beberapa buah lagu yang menerima respon positif daripada pendengar termasuklah Mansau yang tular di media sosial apabila ramai menggunakan lagu tersebut sebagai runut lagu bunyi video mereka; terutamanya dalam kalangan pengguna media sosial di Sabah. Ini setelah ia mencecah lebih sembilan juta tontonan di YouTube.
Terbaharu, Adam Shamil tampil dengan lagu berjudul Bantu.
Berkisarkan tentang penghargaan terhadap seseorang terutama yang bergelar ibu mahupun nenda tercinta, Adam menitipkan perasaan syukur dan terharu apabila dipilih merakamkan lagu Bantu memandangkan ia merupakan lagu pertamanya yang dihasilkan menerusi syarikat rakaman di Kuala Lumpur untuk diarus perdanakan.
“Pastinya saya berbangga apabila peluang menyanyikan lagu ciptaan Omar K hadir. Saya bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dengan insan-insan hebat ketika menjayakan lagu ini.
“Omar K, pastinya saya rasa bangga berpeluang itu tidak datang selalu. Saya juga bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dengan insan-insan yang hebat dalam menjayakan lagu ini.”
Usia muda hakikatnya hanyalah nombor. Adam Shamil telah membuktikannya apabila berjaya ‘melayarkan bahtera’ dalam bidang seni yang diminati.
“Saya mula menjinakkan diri dalam bidang hiburan menerusi media sosial seawal tahun 2016. Saya juga bermula sebagai seorang YouTuber bagi memperkenal Sabah dan Sarawak menerusi kandungan menarik dan bakat nyanyian.
“Jadi, jika ada yang bertanya bagaimana saya melakukan semua itu pada waktu yang saya, saya merasakan tiada rahsia tertentu melainkan pembahagian masa yang bijak. Ada masanya saya benar-benar memberikan tumpuan terhadap sesuatu perkara dan ada masanya saya perlu mengenepikannya sebentar. Cuma, kata kuncinya adalah konsistensi,” simpul Adam.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.