Kata kerja ganda ialah kata kerja yang terbentuk daripada kata yang diulang atau digandakan sebahagian atau keseluruhannya. Kata kerja ganda dapat dibahagikan kepada tiga iaitu penggandaan penuh, penggandaan separadan penggandaan berentak. Kata kerja ganda mempunyai maksud tersendiri berdasarkan kata yang digandakan itu, seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah:
Maksud kata kerja ganda
Contoh
Perbuatan saling berbalas
bersalam-salaman, berkasih-kasihan
Sering atau berkali-kali
menggaru-garu, melambai-lambai, kumat-kamit
Perbuatan yang berlarutan
mengata-ngata, tergila-gila, berangan-angan
Perbuatan bersungguh-sungguh
bertungkus-lumus, memporak-poranda
Perbuatan untuk bersantai
duduk-duduk, bersiar-siar, berehat-rehat
Contoh ayat yang menggunakan kata kerja ganda:
Pak Mat menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal itu.
Kami sekeluarga keluar makan-makan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Haziq baring-baring di atas tikar mengkuang di serambi rumahnya.
Mata Shamimi terkebil-kebil melihat artis yang sangat diminatinya itu berada di depan mata.
Amir dan adik-adiknya mandi-manda sepuas hati di sungai di belakang rumah nenek mereka.
Setiap kereta yang lalu-lalang di Jalan Bintang tentu akan terpandang rumah banglo yang menyeramkan itu.
Jenny bertungkus-lumus menyiapkan kertas kerja yang akan dihantar kepada pensyarahnya esok.
Dalam ayat (1), (4) dan (6) di atas menunjukkan pelaku melalukan sesuatu perbuatan itu secara berulang-ulang. Pak Mat melakukan perbuatan menggaru tersebut secara berulang-ulang kali. Manakala dalam ayat (2), (3) dan (5) pula menunjukkan perbuatan lebih santai. Ayat (7) pula menunjukkan satu perbuatan yang bersungguh-sungguh.
Ads
Justeru, bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan penggunaan kata ganda ini, kita perlu memahami maksudnya terlebih dahulu sebelum menggunakannya sama ada melalui ucapan mahupun penulisan.
Ads
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Noor Zila binti Md. Yusuf
Ads
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bahang Sukan Olimpik masih dapat dirasai setelah temasya sukan terbesar dunia itu melabuhkan tirainya, Ahad lalu. Semangat kesukanan yang kita rasai masih berbekas hingga ke hari ini.
Tapi, tahukah korang pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh para atlet yang bertanding semasa musim pandemik ini? Nak berjumpa tak boleh, nak ‘terbang’ ke negara lain untuk bertanding pun tak boleh; kecualilah ke kejohanan besar seperti Sukan Olimpik tempoh hari. Itu pun perlu ditunda setahun sebelum mendapat kebenaran.
Bagi para atlet, meeka sudah terbiasa mengunjungi pusat latihan, gimnasium dan stadium pada setiap hari untuk mempertingkatkan prestasi dari semasa ke semasa. Sebelum pandemik COVID-19 berlaku, semua itu mudah sekali dilakukan. Namun sepanjang hampir dua tahun kebelakangan ini, hidup mereka telah banyak berubah.
Apa yang kita saksikan di kaca televisyen semasa Sukan Olimpik adalah ‘versi normal’ atlet bertanding iaitu secara berhadapan atau face to face dengan lawan serta pihak juri.
Namun di luar temasya Sukan Olimpik, tidak semua atlet berkesempatan untuk bertanding secara berhadapan. Inilah antara norma baharu yang diakui oleh atlet Taekwondo negara, Sara Yap Khim Wen.
Pemenang pingat gangsa di Sukan Asia 2018 dalam kategori Poomsae individu wanita ini berkongsi kepada penulis baru-baru ini mengenai kekangan yang dihadapinya; sehinggakan perlu bertanding secara dalam talian saja.
Pengalaman ini adalah satu lagi norma baharu yang perlu dibiasakan oleh Sara. Apatah lagi, dia masih dalam proses pemulihan sejak menjalani pembedahan pada November 2020.
“Kami baru saja bertanding secara dalam talian, dua minggu lepas. Persatuan Taekwondo Sedunia kini hanya menganjurkan pertandingan secara maya disebabkan pandemik. Tapi tak mengapalah, bagi saya sekurang-kurangnya kami teruskan momentum bertanding.
“Saya belum lagi berada pada tahap prestasi terbaik memandangkan ia adalah pertandingan pertama yang saya sertai sejak pembedahan..”
“Cuma saya fikir, join sajalah. Open Champion saja,” katanya yang optimistik mampu memberikan cabaran kepada lawannya pada tahun hadapan.
Bercakap mengenai kejohanan yang baru disertainya dua minggu lalu, Sara perlu membiasakan diri untuk merekodkan video sendiri semasa melakukan rutin Poomsae dan menghantarnya kepada pihak kejohanan.
“Oleh kerana aksi direkodkan lebih awal, jadi saya tidaklah merasa ‘nervous’ di hadapan penonton. Lagipun, saya boleh merekod semula beberapa kali hingga saya berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan.”
“Jujurnya, bertanding secara dalam talian amatlah berbeza untuk saya. Saya perlu mencari lokasi sendiri yang selari dengan arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) kerajaan.
“Selalunya, penganjur memberikan atlet satu hingga dua minggu untuk merekod dan kemudiannya menghantarkan video terbaik sebelum tarikh tutup.
“Ada juga masanya di mana penganjur akan menganjurkan pertandingan secara langsung dalam talian. Bagaimanapun, masalah timbul apabila sambungan Internet atlet tidak lancar. Audio dan video juga dikhuatiri tidak seiring.
“Atlet juga perlu sesuaikan diri dengan waktu pertandingan mengikut perbezaan zon waktu. Suka atau tidak, kami perlu biasakan diri dengan situasi baharu ini,” ulas Sara.
Melihat kepada kalendar sukan 2022, sememangnya banyak kejohanan yang telah disusun sepanjang tahun hadapan (selagi pihak penganjur tidak menundanya). Antaranya ialah Sukan Komanwel 2022 Birmingham dari Julai-Ogos, Sukan SEA Vietnam pada bulan Julai dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada bulan September.
Banyak tu! Tak sabar nak lihat Sara mempertahankan kedudukan podium di Sukan Asia dan menuai pingat di kejohanan lain.
Sebelum itu, jom tonton video temuramah REMAJA bersama Sara pada tahun lalu sempena kempen Saya #RemajaMalaysia.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tugas sebagai pemain kebangsaan badminton negara tidak sesekali menghalang Thinaah Muralitharan daripada mengejar segulung ijazah. Dengan pencapaiannya bersama pasangan regu, Pearly Tan yang semakin konsisten di kejohanan dunia, Thinaah tetap mengutamakan pendidikan.
Ibarat mengantuk disorongkan bantal, hasrat Thinaah itu disokong penuh apabila atlet remaja itu menerima biasiswa daripada Open University Malaysia (OUM) pada minggu ini.
Universiti berkenaan menyediakan sokongan kewangan penuh kepada Thinaah bagi tempoh pengajian dari Januari 2023 hingga Mei 2024.
Turut menyaksikan majlis berkenaan ialah ibu bapa Thinaah dan En Ramash Ananth Ganeson, Pengarah Pusat Pembelajaran Shah Alam OUM iaitu lokasi pengajian Thinaah.
Ditemui dalam acara sidang media majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU), Thinaah, 26 berkongsi bahawa beliau sememangnya sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua – TESL) di OUM sejak Mei 2020.
Dengan pemberian biasiswa tersebut, ia merupakan satu pembakar semangat buat pemain beregu wanita utama negara itu untuk meneruskan konsistensi di gelanggang badminton di samping memastikan pengajiannya diteruskan sehingga tamat kelak.
“Saya percaya (biasiswa) merupakan motivasi terbaik untuk saya. Ya, (kejayaan di Terbuka Perancis) adalah sasaran saya.
“Saya rasa persiapan kita sangat baik. Kita harapkan yang terbaik,” katanya.
Ditebak mengenai jurusan pilihannya itu, Thinaah berkata Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL menjadi pilihan kerana beliau sangat meminati bahasa Inggeris sejak kecil.
“Memandangkan saya sering mengembara, bahasa Inggeris sangat penting.
“Saya bersyukur pengajian tidak menjejaskan jadual pertandingan kerana OUM menyediakan pembelajaran secara dalam talian yang lebih fleksibel. Saya boleh belajar dari mana-mana tempat di seluruh dunia,” tambahnya.
Di pihak universiti pula, Presiden dan Naib Canselor OUM Prof Dr Ahmad Izanee Awang berkata OUM menawarkan biasiswa itu kepada Thinaah kerana kagum dengan prestasi akademiknya pada masa sama menunjukkan pencapaian luar biasa dalam sukan badminton.
“Pencapaian anda adalah gambaran terhadap nilai yang kami pegang di OUM – dedikasi dan komitmen untuk mencapai kecemerlangan. Kami yakin anda akan terus membanggakan kita semua di dalam dan luar gelanggang badminton,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Thinaah dan Pearly yang kini menduduki ranking ke-15 dunia akan memulakan pertarungan dalam Terbuka Perancis di Paris pada 5 hingga 10 Mac ini dengan berdepan pasangan China yang juga beregu kelima dunia, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pandemik COVID-19 yang melanda seantero dunia telah menyebabkan terciptanya pelbagai istilah baharu dalam komunikasi sehari-hari kita. Barangkali sesetengah istilah tersebut merupakan istilah biasa dalam bidang perubatan atau kesihatan, tetapi bagi masyarakat umum, istilah-istilah ini sesungguhnya agak baharu kerana tidak pernah digunakan sebelum ini.
Daripada “penjarakan sosial” kepada “penjarakan fizikal”, “penutup muka” kepada “pelitup muka”, “cecair pembasmi kuman” kepada “pensanitasi tangan”, kita juga sering mendengar frasa “memutuskan rantaian jangkitan”, “prosedur operasi standard” (SOP), “Perintah Kawalan Pergerakan” dan sebagainya. Namun begitu, yang menarik perhatian saya dan yang akan saya kongsi dalam artikel pada kali ini ialah kekeliruan pengguna bahasa antara frasa “melandaikan keluk jangkitan” dengan “melandaikan lekuk jangkitan”.
Kedua-dua frasa ini sering digunakan dalam pelbagai media, sama ada media cetak atau media elektronik, oleh penulis, wartawan atau netizen secara tidak konsisten. Sudah tentunya kekeliruan berlaku kerana ejaan dan bunyi kedua-dua patah perkataan ini, iaitu “keluk” dan “lekuk” hampir sama. Namun begitu, pada hakikatnya, kedua-dua patah perkataan ini berlainan maksud dan penggunaannya. Oleh sebab itu, setelah membaca artikel pada kali ini, diharapkan pembaca dapat menggunakan istilah dengan ejaan yang tepat.
Binaan istilah ini dalam bahasa Inggeris ialah “flatten the infection curve”, iaitu satu strategi untuk melambatkan kadar penularan COVID-19 supaya rantaian jangkitan dapat diputuskan sekali gus pandemik ini dapat diperangi dengan sepenuhnya. “Curve” di sini merujuk graf yang dilukis dalam bentuk lengkung dan padanan istilah yang tepat ialah “keluk”.
Merujuk Kamus Dewan Perdana, “keluk” bermaksud garis yang melengkung bentuknya dan biasanya dilukis pada graf, rajah dan lain-lain. Namun begitu, kealpaan pengguna bahasa tentang ketepatan dalam penggunaan bahasa telah mengakibatkan istilah ini ditulis sebagai “melandaikan lekuk jangkitan”. Padahal, jika kita merujuk Kamus Dewan Perdana, “lekuk” ini sebenarnya bermaksud bahagian sesuatu permukaan yang masuk ke dalam sedikit dan beberapa makna lain yang tidak merujuk graf.
Oleh sebab itu, marilah kita menjadi pengguna bahasa yang lebih peka, lebih berhati-hati dan sentiasa rajin merujuk kamus. Kesalahan yang kita lakukan akan mencerminkan ketidakprihatinan kita tentang penggunaan bahasa Melayu yang baku dan indah. Akhir kata, marilah kita berganding bahu untuk memikul tanggungjawab sosial supaya keluk jangkitan COVID-19 berjaya kita landaikan!
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustakan. Artikel ini ditulis oleh ALEX LEONG JUN WEI
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hanya sehari sebelum dilangsungkan, acara One Love Music Festival yang dijadualkan menghiburkan pengunjung selama 12 jam berturut-turut di MAEPS, Serdang esok terpaksa dibatalkan.
Penganjurnya, Tuff...