[MAHIR BAHASA MELAYU] “Sejajar Tindakan” Atau “Sejajar Dengan Tindakan”

Share

Dalam rencana yang disiarkan pada bulan Mac 2021 tentang penggunaan imbuhan “se-“, pembaca telah mengetahui bahawa kata adjektif yang berimbuhan “se-“ biasanya tidak boleh diikuti dengan kata sendi nama “dengan” atau “seperti”. Contohnya:

  1. Baju yang saya beli ini tidak semahal dengan baju yang engkau beli itu.
  2. Hang Jebat sehebat seperti Hang Tuah.

Kedua-dua ayat ini tidak gramatis kerana imbuhan “se-“ telahpun mendukung makna “sama”, maka perkataan “dengan” dan “seperti” sepatutnya digugurkan.

Namun demikian, dalam perkongsian kali ini, kita dapati bahawa sebenarnya bukan semua kata adjektif berimbuhan “se-“

tidak boleh diikuti “dengan”, malah sebenarnya ada kata adjektif berimbuhan “se-“ yang wajib diikuti “dengan”.

Cuba kita memperhatikan ayat yang berikut:

  1. Tindakan ini tidak selari SOP yang telah ditetapkan.
  2. Sejajar keputusan mesyuarat tersebut, kami akan mula melaksanakan program ini pada bulan ini.
  3. Guru mestilah menyampaikan pengajaran selaras standard pembelajaran dan standard kandungan yang ditetapkan.
  4. Reka bentuk itu dihasilkan seiring konsep sains dan teknologi.
  5. Keberanian yang ditunjukkan oleh remaja itu sesungguhnya tidak sepadan kekuatan fizikalnya.

Pasti kita berasa janggal membaca ayat (3) hingga (7). Hal ini kerana ayat ini semuanya tidak gramatis. Ayat ini dapat dibetulkan seperti ayat (8) hingga (12) yang berikut:

  1. Tindakan ini tidak selari dengan SOP yang telah ditetapkan.
  2. Sejajar dengan keputusan mesyuarat tersebut, kami akan mula melaksanakan program ini pada bulan ini.
  3. Guru mestilah menyampaikan pengajaran selaras dengan standard pembelajaran dan standard kandungan yang ditetapkan.
  4. Reka bentuk itu dihasilkan seiring dengan konsep sains dan teknologi.
  5. Keberanian yang ditunjukkan oleh remaja itu sesungguhnya tidak sepadan dengan kekuatan fizikalnya.

Persoalannya, bilakah kita perlu menggunakan “dengan”? Bagaimanakah kita menentukannya? Sebenarnya, jika kita menguasai golongan kata, perkara ini amat mudah sahaja. Kata “secantik” tidak boleh diikuti “dengan” disebabkan kata dasarnya, iaitu “cantik” merupakan kata adjektif.

Jika dibandingkan dengan kata “selari”, “sejajar”,secocok”, “selaras”, “seiring”, dan “sepadan” pula, kita dapati bahawa kata dasarnya, iaitu “lari”, “jajar”, “laras”, “iring” dan “padan” bukan kata adjektif.

Kesimpulannya “dengan” perlu digunakan sekiranya kata dasarnya bukan kata adjektif. Jika kata dasarnya ialah kata adjektif, maka kata “dengan” atau “seperti” tidak boleh digunakan sesudahnya. Berfikirlah dengan teliti semasa menggunakan kata adjektif berimbuhan “se-“ kerana bukan selalunya “dengan” tidak diperlukan dan begitulah juga sebaliknya.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Alex Leong Jun Wei

Published by
Penulis Jemputan