[MAHIR BAHASA MELAYU] Selamat Berhujung Minggu

Share

Pada hari ini, banyak ungkapan baharu yang dihasilkan oleh pengguna bahasa. Antara ungkapan yang digunakan ialah “Salam Ramadan”, “Salam Aidilfitri”, “Salam Maghrib”, “salam subuh”, dan banyak lagi. Sebelum ini, ungkapan “Selamat berhujung minggu” sangat popular kerana selalu digunakan oleh sebuah stesen televisyen.

Ungkapan ini sebenarnya tidak gramatis. Ungkapan-ungkapan seperti ini muncul kerana pengaruh gejala simplistik yang berlaku dalam kalangan pengguna bahasa. Gejala simplistik

ialah sikap seseorang yang suka akan keringkasan. Sesuatu ungkapan yang panjang dipendekkan. Sebagai contohnya, lihatlah ungkapan yang berikut:
Ungkapan asal Ungkapan yang dipendekkan
Selamat bergembira pada hujung minggu ini. Selamat berhujung minggu.

Selepas ungkapan di atas ini digunakan secara leluasa, timbullah pula ungkapan salam Ramadan, salam Aidilfitri, salam subuh, salam maghrib dan lain-lain lagi.

Ungkapan asal Ungkapan yang dipendekkkan
Assalamualaikum, selamat menyambut bulan Ramadan. Salam Ramadan
Assalamualaikum, selamat menyambut hari raya Aidilfitri. Salam Aidilfitri
Assalamualaikum, selamat menunaikan solat maghrib Salam maghrib
Assalamualaikum, selamat menunaikan solat subuh. Salam subuh.

Ada sesetengah pejuang bahasa pula akan mengungkapkan ucapan “salam bahasa”, “salam Bahasa Jiwa Bangsa” kepada kenalannya. Persoalannya ialah apakah maksud yang hendak disampaikan?

Ungkapan asal Ungkapan yang dipendekkan
Assalamualaikum, selamat memartabatkan bahasa Melayu. Salam Bahasa
Assalamualaikum, selamat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa kita. Salam Bahasa Jiwa Bangsa

Kesimpulannya, ungkapan yang dipendekkan ini hanya sesuai digunakan dalam situasi tidak rasmi atau perbualan harian dan difahami oleh penerimanya. Namun demikian, dalam konteks rasmi, ungkapan seperti ini usahlah digunakan. Sebagai stesen penyiar, gunakanlah kelebihan yang ada untuk mempopularkan bahasa yang betul dan indah. Melalui cara ini, kita dapat mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kalangan masyarakat sekali gus memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di negara kita.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Abdul Ghalib bin Yunus

Published by
Penulis Jemputan