Penyampaian yang menarik dan berkesan terletak pada aspek sebutan setiap kata termasuk kata terbitan yang menerima imbuhan awalan seperti “beR-”, “meN-”, “mempeR-”, “dipeR-”, “peR-”, “teR-”, “menteR-” dan “diteR-”. Begitu juga dengan perkataan yang mendapat imbuhan akhiran atau apitan.
Kadang-kala pengguna bahasa keliru untuk mengucapkan atau mentranskripsi sebutan kata, lebih-lebih lagi bagi kata yang menerima imbuhan. Contohnya, sebutan kata bagi “penjarakan fizikal”. Sebutan “penjarakan” tersebut boleh ditranskripsikan sebagai “pen.ja.ra.kan” dan juga boleh berakhir dengan hentian glotis “pen.ja.ra/.kan”, seperti membunyikan dua huruf “k”. Ternyata, kedua-dua cara pemenggalan sebutan tersebut boleh digunakan. Begitu juga dengan “pendidikan”, sebutannya boleh ditranskripsi kepada “pen.di.di.kan” atau “pen.di.di/.kan”.
Selain itu, sebutan kata “berada” juga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa, sebilangannya menyebut sebagai “be.ra.da” dan sebilangan lagi menyebut sebagai “ber.a.da]”. Sebutan manakah yang tepat?
Kedua-duanya adalah betul. Pengguna boleh mentranskripsi atau menyebutnya sebagai “be.ra.da” atau “ber.a.da”. Begitu juga dengan kata ganda “teragak-agak”, boleh ditranskripsi sebagai “ter.a.gak.a.gak” atau “te.ra.gak-a.gak”. Hal ini kerana awalan “beR-”, “mempeR-”, “dipeR-”, “peR-”, “teR-”, “menteR-” dan “diteR-”yang diimbuhkan kepada kata ganda yang bermula dengan vokal, maka transkripsi sebutannya boleh dibuat dengan dua cara.
Walau bagaimanapun, kata ganda berpangkal bunyi vokal yang menerima imbuhan meN-
ditranskripsikan bunyinya dengan cara mempertahankan bunyi vokal dalam bentuk yang digandakan itu. Contohnya, kata “mengagung-agungkan” disebut sebagai “me.nga.gung.a.gung.kan”. Kata “mengikut-ikut” disebut sebagai “me.ngi.kut.i.kut”.Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Nor Fazilah binti Noor Din.