KEJUARAAN MotoGP ialah acara berkelas dunia. Segala apa yang terlibat sama ada jentera, pelumba, pasukan dan kejuruteraan, ia diiktiraf umum sebagai sukan permotoran antara terbaik di planet Bumi sejak 1949.
ARTIKEL BERKAITAN: Pawang Hujan MotoGP Indonesia Jadi Perhatian Netizen
Tapi korang tahu tak rupanya ada kelibat seorang mekanik anak Melayu Malaysia pertama di Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP).
Mekanik yang dimaksudkan ialah anak kelahiran Parit Buntar, Perak iaitu Habibtullah Mohamad Fuad atau lebih dikenali sebagai Habib.
Cipta Rekod Anak Tempatan Malaysia Pertama
Bertanggungjawap sebagai mekanik nombor tiga untuk pasukan RNF Racing, beliau mencipta rekod sebagai anak tempatan Malaysia pertama bertugas sebagai mekanik dalam kelas utama Kejuaraan Dunia MotoGP.
Habib dipilih disebabkan beliau merupakan individu yang bekerja keras, menepati masa, suka membantu dan kalau dibandingkan mekanik lain, dia mekanik yang bagus selepas bermula dari bawah hingga MotoGP.
Tugas Mekanik Nombor Tiga
Bukan mudah mengalas tugas sebagai mekanik ketiga, Habib perlu membantu mekanik nombor satu dan dua. Jadi, apa-apa yang berkaitan motosikal, ketiga-tiga inilah akan bertanggungjawab. Apa membezakan dua dan tiga hanyalah pengalaman.
Sebagai mekanik Melayu pertama dalam MotoGP, Habib tidak melihat masalah komunikasi sebagai batu penghalang untuk membina kerjaya cemerlang bersama pasukan RNF MotoGP Team.
Mahir Bahasa Inggeris, Sepanyol Dan Itali
Mula bersama RNF MotoGP Team musim lepas, Habibtullah, 37 tahun berkata kerjayanya menuntut beliau untuk memahami dan bertutur bukan sahaja dalam bahasa Inggeris malah bahasa Sepanyol dan Itali.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata ini kerana kebanyakan rakan sekerjanya di hentian pit merupakan warganegara Sepanyol dan Itali.
“Dahulu saya tak tahu langsung berbahasa Itali namun sejak tahun ini saya tahu serba sedikit memandangkan jurutera saya dari sana. Bagi Bahasa Sepanyol pula, saya sudah berinteraksi (dalam bahasa Sepanyol) selama lapan tahun memandangkan saya pernah bersama krew pasukan dari Sepanyol dalam kancah Moto2 sejak 2014,” katanya kepada pemberita pada hari terakhir Ujian Musim Sejuk MotoGP 2023.
Ditanya bagaimana mula bergelumang dalam dunia permotoran, Habib berkata beliau sememangnya dibesarkan dalam keluarga yang meminati sukan itu.
“Ayah saya merupakan pelumba motorcross, dari situ saya sudah terpengaruh dengan dunia permotoran. Saya menjadi mekanik sejak umur 14 tahun lagi dalam satu perlumbaan di Batu Tiga, Shah Alam dan dari situlah segalanya bermula,” katanya.
Beliau berkata minat dan kerjaya dalam dunia permotoran menyebabkan beliau terpaksa berkorban masa dengan keluarga kerana jadual yang padat sepanjang tahun.
“Sebanyak 21 perlumbaan perlu ditempuhi tahun ini, kalau ikutkan masa memang tak banyak bersama keluarga. Nasib baik ada teknologi panggilan video untuk ubat rindu kepada mereka,” katanya.
Nasihat Agar Tidak Berputus Asa
Habib turut berpesan agar golongan remaja dan anak muda yang berminat untuk bekerja di belakang tabir sukan permotoran, khususnya untuk berada dalam dunia MotoGP, agar tidak berputus asa dalam mengejar impian.
Mengenai cabaran musim ini, beliau mengakui masih lagi menyesuaikan diri dengan enjin Aprilia yang digunakan pasukannya musim ini berbanding Yamaha pada musim lepas.
Kesemua pelumba dan pasukan akan terlibat dalam ujian dua hari di Autodromo Internacional do Algarve, Portimao, Portugal pada 11 dan 12 Mac ini, dengan perlumbaan pertama musim 2023 berlangsung di litar sama dua minggu kemudian (24-26 Mac).
Wah, hebatlah abang Habib ni, moga kejayaan abang Habib ini memberi inspirasi kepada kita semua lagi-lagi yang meminati bidang permotoran dan dunia MotoGP.
BACA LAGI : Pelumba Negara Dipuji, Harumkan Nama Malaysia Di Sepanyol Dengan Raih Tempat Kedua
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.