Seorang pelajar dari Hebei di utara China, Zhao Ying Qi berhasrat untuk meningkatkan kemahiran dalam Bahasa Arab, Inggeris dan Melayu selain ingin memahami budaya masyarakat Melayu sehingga mendorongnya memilih Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai sebagai destinasi pengajian.
Ying Qi (18) antara 1,200 pelajar yang mendaftarkan diri bagi mengikuti program Tamhidi USIM pada 24 Julai lalu.
Dia yang lebih mesra dipanggil Hikma berkata, selain ingin menguasai dengan baik Bahasa Arab, Inggeris dan Melayu, dia turut mahu mencari ramai kawan baru dan mendalami pemahaman mengenai pengajian Islam di USIM.
“Malaysia bukan asing bagi saya kerana pernah mendapat pendidikan peringkat rendah dan menengah di Sekolah Islam Antarabangsa Gombak, Selangor selama sembilan tahun”
“Sepanjang tempoh itu, saya berjaya memperoleh sijil IGCSE dan menghafal enam juzuk al-Quran. Saya ingin meletakkan asas yang kukuh dalam akademik dan pengajian agama”
Hikma juga turut akan mengikuti kursus Tahmidi dalam Teknologi Sains dan bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek.
Tambahnya lagi, reputasi USIM dalam menawarkan program pengajian sains yang cemerlang dalam persekitaran Islam menarik minatnya.
“Rakan memperkenalkan universiti ini kepada saya dan selepas melakukan kajian dengan teliti, saya mendapati ia sesuai dengan kehendak”
“Malaysia menawarkan persekitaran Islam yang lebih baik, berbanding belajar di China,” katanya menekankan kepentingan suasana yang menyokong nilai yang baik untuk perkembangan peribadi dan akademiknya”
Dia berharap dapat memberi inspirasi kepada pelajar antarabangsa lain untuk pertimbangan belajar di luar negara, terutama di Malaysia dalam persekitaran yang bukan sahaja menawarkan kecemerlangan akademik tetapi juga memupuk perkembangan peribadi dan rohani.
Sumber: Berita Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.