Berita

Mahu Ibu Hidup Senang! Atlet Renang Firdaus Fariduddin Raih Perak Di Para SUKMA 2024

Share

Tiada yang lebih diinginkan oleh Firdaus Fariduddin Noordin yang meraih perak dalam acara renang Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024, selain memberikan keselesaan hidup kepada ibunya, Jumabee Latiff yang telah banyak berkorban sejak beliau terlibat dalam kemalangan ngeri 13 tahun lepas.

Firdaus Fariduddin (25) yang kehilangan kaki kanan akibat kemalangan itu mengakui tanggungjawabnya semakin berat sebagai satu-satunya lelaki dalam keluarga selepas kehilangan bapanya, Noordin Aziz ketika berusia tiga tahun.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, beliau mula merasakan sukan renang sudah sebati dengan dirinya sejak berusia 17 tahun hasil dorongan kenalan ibunya yang memberi nasihat agar tidak tenggelam dalam kedukaan dan terus melangkah ke hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Juarai Beregu Terbuka China! Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani Lakar Sejarah!

Foto: Bernama

“Harap dapat sertai pasukan kebangsaan jadi duit daripada situ dapat bantu mak hidup senang. Macam sekarang nama saya ada dengan mereka sebab kalau ada apa-apa kursus, pasukan kebangsaan akan panggil. Mak pula sekarang bekerja sebagai tukang cuci pejabat dan sekarang kami tinggal di flat tingkat empat tiada lif”

“Dalam sebulan saya akan habis RM200 ke RM300 untuk latihan dan semua itu guna duit sendiri sebab pasukan Pulau Pinang tidak dapat gaji. Kebanyakan duit daripada mak ataupun hasil rumah sewa saya beli guna duit pampasan kemalangan,” jelasnya lagi.

Firdaus Fariduddin yang mewakili Pulau Pinang dalam acara 50 meter gaya bebas S9 (kecacatan fizikal) merekodkan 32.50 saat (s) ketinggalan di belakang wakil Selangor, Muhammad Safwan Suhaimi yang menggenggam emas dengan catatan 29.47s. Dalam pada itu, atlet tuan rumah Mully Andriano pula meraih gangsa dengan catatan 34.14s.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja 14 Tahun Pecah Rekod Para SUKMA 2024, Asyiil Raziin Razman Raih Pingat Emas!

Foto: Bernama

Sementara itu, Jumabee (64) berkata hatinya masih luluh sekiranya mengenang detik malang menimpa anaknya yang mesra disapa ‘adik’ itu, yang dirempuh sebuah lori ketika berada di bahu jalan akibat bas yang dinaiki mereka rosak setelah melanggar lori pasir.

“Mak cik ingat lagi kaki adik macam ‘roti jala’ masa itu dan masa masuk bilik pembedahan, hanya ibu jari kaki kiri dia bergerak dan yang lain sudah mati. Doktor pula tanya kamu sayang nyawa anak atau kaki anak?”

Tambahnya yang hadir memberi sokongan kepada anaknya, “bayangkan mak cik seorang tanpa suami, memang macam orang tak betul tapi masa itu tawakal sahaja. Jadi mak cik tanda tangan sahaja (borang keizinan pembedahan/prosedur) dan masih ingat masa itu adik menjerit mahukan arwah bapanya.”

ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Arman Bersyukur Berkat Bantu Ibu Jual Kuih Mampu Raih Emas Di Para SUKMA 2024! Tiada Pengalaman Bukan Penghalang!

Sumber artikel dan gambar: Bernama

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE