Bekas penyanyi K-Pop yang juga merupakan anggota Crayon Pop, Cho A baru-baru ini berkongsi kisah menyayat hati apabila didiagnosis menghidap kanser serviks pada Mei tahun lalu.
Menerusi perkongsian video di Instagram miliknya pada 14 Oktober lalu, penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Dancing Queen’ itu berkata dia pada awalnya tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia menghidap penyakit itu di usia muda.
“Saya didiagnosis menghidap kanser pada umur 33 tahun, yang mana ia sepatutnya menjadi usia yang paling membahagiakan dalam hidup saya. Pada Mei 2023, selama tahun awal pertama saya menjalankan kehidupan sebagai pengantin baru, saya ambil keputusan untuk pergi buat pemeriksaan prenatal secara kerap tapi waktu itu juga saya dapat khabar yang mengejutkan, saya ada kanser serviks.”
“Pada awalnya saya tak percaya sebab macam tak mungkin saya muda dan sihat ada kanser. Saya siap tanya pada doktor sama ada itu salah diagnosis dan pergi ke 5 hospital terbaik yang lain dengan harapan dapat keputusan yang berbeza,” ujarnya lagi.
Cho A atau nama sebenar Heo Min Jin (34) kemudian turut menceritakan pengalaman di mana dia perlu menjalankan ujian seperti MRI dan PET CT Scan selepas mengetahui sel kansernya masih berada di tahap satu (1) dengan tumor bersaiz 3 sentimeter.
Menurut doktor yang merawat Cho A, kemungkinan untuk dia mendapatkan anak juga akan memberi kesan kerana tahap kesuburannya.
Katanya, “Dunia saya seperti hancur selepas mendengar hal itu. Saya juga sedih sampai menangis tersedu-sedu, dan waktu itu adalah waktu paling sukar dalam hidup saya.”
Meskipun hampir berputus asa, namun suaminya tetap memberikan sokongan dan semangat untuk tidak pernah menyerah dan Cho A juga berusaha sebaik mungkin untuk mengecilkan tumor berkenaan dengan belajar mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat.
Dalam pada itu, bekas penyanyi itu juga difahamkan telah menjalankan pembedahan dan kini tahap kesuburannya semakin membaik.
“Saya baru saja lulus untuk rawatan seterusnya dan dalam masa terdekat saya akan jalani pembedahan untuk melindungi kesuburan kandungan saya pula,” jelasnya menerusi perkongsian yang sama.
Tambahnya, kini dia bebas dari kanser tetapi untuk peringkat awal dia perlu melalui prosedur pengikatan rahim terlebih dahulu.
Cho A juga berkata bahawa masih banyak lagi rintangan yang perlu dilalui, berharap suatu hari dia akan seorang ibu dan mempunyai anak pada masa akan datang.
Di akhir perkongsiannya, dia berharap menerusi kisah yang dikongsi olehnya itu mampu memberi harapan dan sinar kepada sesiapa sahaja yang mengalami pengalaman yang sama.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.