Bagi umat Islam di seluruh dunia, bulan suci Ramadan adalah masa yang dinanti-nantikan untuk bermuhasabah dan belajar bersyukur akan setiap rezeki. Tambahan lagi, amalan berpuasa turut memberi 1001 manfaat terhadap kesihatan tubuh badan kita.
ARTIKEL BERKAITAN: 3 Makanan Wajib Ambil Masa Sahur, Kenyang Lama Ketika Puasa & Boleh Kurus!
Namun ada kalanya kita terleka dengan godaan nafsu terutama ketika waktu berbuka. Impian untuk bergaya dan memuat naik gambar OOTD (Outfit of the Day) di pagi raya berkemungkinan akan hancur sekiranya tidak menjaga pengambilan makanan sebaiknya.
Jika anda ingin menggunakan peluang berpuasa sekaligus untuk menurunkan beberapa kilo berat badan, berikut adalah beberapa petua yang boleh dilakukan:
Jangan tinggal sahur
Pada bulan Ramadhan, sahur menggantikan sarapan pagi kita. Maka, melewatkan sahur adalah pilihan yang berisiko kerana anda akan cenderung lapar sepanjang hari. Hal ini akan mengakibatkan anda untuk makan secara berlebihan semasa berbuka puasa. Bukan sahaja tidak bagus untuk kesihatan, anda juga akan cenderung untuk bermalas-malasan ke masjid untuk terawih. Haa kan dah terlepas pahala solat terawih.
Kurangkan pengambilan gula
Satu lagi sebab utama kenaikan berat badan semasa Ramadan ialah pengambilan gula sepanjang bulan. Lihat sahajalah lambakan makanan dan minuman yang kaya dengan kandungan gula di bazar Ramadan. Dari aneka kuih muih, kek sehinggalah ke barisan air balang yang cukup menggiurkan.
Jika anda berhasrat untuk menurunkan berat badan semasa Ramadan, say bye-bye kepada gula yang berlebihan. Sebaiknya gantikan ia dengan makan makanan yang kaya dengan gula semulajadi seperti buah-buahan dan madu.
Elakkan makanan bergoreng
Tahukah anda bahawa faktor utama yang menjadi punca semua kenaikan berat badan semasa Ramadan adalah makanan berminyak? Perlulah kita ketahui bahawa makanan bergoreng mengandungi kalori yang tinggi dan nutrien yang rendah.
Juadah kegemaran seperti pisang goreng, popiah goreng dan ayam goreng berempah sebaiknya haruslah dielakkan. Sebaiknya cari pilihan yang lebih sihat untuk juadah berbuka berbanding makanan bergoreng yang sudah lazim dinikmati.
Adalah penting untuk anda fahami bahawa gaya hidup sihat bukan sahaja akan memberikan anda peluang untuk bergaya di pagi raya, namun ianya langkah terbaik dalam menjalani kehidupan bebas penyakit.
BACA LAGI: Mata Sukar Nak Lelap? Cuba Tips Ini Untuk Tidur Yang Lena
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Taufulou, FoodPanda, Muslimahclothing, Rujukan Niaga, Pexels, Tribun Wiki