Majlis Akad Nikah Di Wilayah Persekutuan Kini Sudah Dibenarkan

Share

Buat bakal pengantin yang berada di Wilayah Persekutuan, ada berita baik untuk korang kerana majlis akad nikah sudah dibenarkan untuk diadakan di semua masjid kariah dan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan.

Kami pasti ramai pasangan pengantin yang terpaksa menangguhkan pernikahan mereka ekoran arahan PKP yang dilaksanakan dan disebabkan kes positif COVID-19 yang tinggi dikawasan ini.

Walau bagaimanapun, menurut Garis Panduan Majlis Akad Nikah dalam tempoh PKP yang dikeluarkan JAWI, bagi akad nikah di JAWI dan juga masjid-masjid di dalam Wilayah Persekutuan, hanya lima orang dibenarkan hadir iaitu pengantin perempuan dan lelaki, serta dua orang wakil daripada pihak pengantin.

Foto: Facebook Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Gambar hiasan)

Sementara itu, jurunikah dan dua orang saksi adalah daripada pihak JAWI sekiranya dijalankan di JAWI atau pihak masjid sekiranya akad nikah dilakukan di masjid.

Bagi pasangan pengantin yang hadir dari negeri luar yang berada dalam zon merah ke majlis akad nikah di JAWI, mereka juga dihadkan kepada jumlah yang sama.

Hanya seorang jurufoto dibenarkan hadir dan hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan dan tempoh masa perjalanan keseluruhan majlis akad nikah hendaklah tidak melebihi 20 minit.

Selain itu, tidak dibenarkan berjabat tangan antara jurunikah dengan pengantin lelaki serta semua pihak yang terlibat dalam majlis akad nikah dan susun atur majlis hendaklah mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Foto: Facebook Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Gambar hiasan)

Sudah tentu majlis yang bakal diadakan ini dilakukan dengan ringkas dan cepat. Hanya dalam masa 20 minit, urusan bakal pengantin akan disempurnakan untuk menjadi pasangan yang sah.

Lebih mudah rasanya jika urusan perkahwinan dilakukan seperti ini kan?

Sumber: BERNAMA

Published by
Noor Ain Norman