Luluh hati apabila seluruh ahli keluarga disayangi hilang dalam sekelip mata.
Itulah situasi yang perlu dilalui Muhammad Badrul Hafiz Mohd Jamil, 22, apabila dia kehilangan kedua ibu bapa serta adiknya yang maut dalam kemalangan petang semalam. Muhammad Badrul berkata, dia seperti kehilangan arah tujuan apabila mengetahui kesemua ahli keluarganya meninggal dalam kejadian itu.
“Pada mulanya saya seperti tidak percaya apabila mendapat tahu ayah, mak dan adik terlibat dalam kemalangan. Apabila melihat sendiri keadaan kenderaan yang dinaiki mereka di tempat kejadian, barulah saya percaya mereka sudah tidak ada,” katanya ketika ditemui di Kampung Tersusun Balun Bidai di sini semalam.
Muhammad Badrul adalah anak sulung kepada pasangan mangsa kemalangan maut yang berlaku di KM 30 Jalan Bota Kanan-Teluk Intan di Kampung Teluk Memali petang semalam.
Dalam kejadian pada jam 5.24 petang itu, kereta yang dinaiki oleh tiga beranak iaitu Mohd Jamil Utok, 46, Rohaida Sidak, 48, dan anak mereka Nor Syarina Mohd Jamil, 19, bertembung dengan sebuah lagi kenderaan mengakibatkan Rohaida dan Nor Syarina maut ditempat kejadian manakala Mohd Jamil disahkan meninggal dunia lima jam kemudian ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.
Akibat kejadian itu, Muhammad Badrul kini tinggal sebatang kara apabila kedua ibu bapanya serta adik tunggal itu maut dalam kejadian berkenaan. Muhammad Badrul berkata, pada mulanya dia amat sukar untuk menerima keadaan itu memandangkan hubungan mereka sekeluarga begitu akrab.
“Pada mulanya saya rasa kosong apabila mendapat tahu mak, ayah dan adik telah pergi meninggalkan saya seorang diri. Keluarga kami agak kecil dan hubungan kami begitu rapat terutama adik perempuan saya itu yang memang menjadi teman rapat serta teman bergaduh. Selepas ini semuanya hanya tinggal kenangan sahaja memandangkan mereka sudah pergi meninggalkan saya,” katanya.
Katanya, ketiga-tiga ahli keluarganya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku.
“Pada hari kejadian juga mak tetap berpesan kepada saya seperti hari-hari sebelumnya supaya berhati-hati ketika ke tempat kerja. Manakala dengan arwah ayah saya tidak sempat berjumpa pada pagi kejadian kerana dia menghantar adik ke sekolah di Sekolah Menengah Sultan Abdul Jalil Shah, Seberang Perak. Pada hari itu ayah dan mak membawa adik ke Teluk Intan untuk membeli kelengkapan sekolahnya yang perlu ditambah,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Kampung Gajah.
Katanya, dia reda menerima ketentuan itu namun perasaan sedih tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Saya memang terasa kehilangan mereka memandangkan mereka sahaja ahli keluarga terdekat saya. Sekarang di rumah ini masih ada lagi saudara-mara kami, selepas ini bila mereka pulang tentu saya rasa sunyi sangat-sangat dan setakat ini juga saya tidak ada sebarang rancangan lagi sama ada untuk terus tinggal di rumah ini atau berhijrah ke tempat lain,” katanya.
Jenazah tiga beranak itu selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Kampung Changkat Ramai dalam satu liang lahad pada jam 11.30 pagi ini.
Sumber : SINAR HARIAN