Mak Yong Jadi Inspirasi Kostum Nasional Miss Grand Malaysia

Share

Saban tahun Malaysia akan menghantar wakil ke pertandingan-pertandingan ratu cantik peringkat antarabangsa. Antaranya Miss Universe, Miss World, Miss International dan juga Miss Grand International. Walaupun begitu kebanyakan pertandingan edisi tahun 2020 terpaksa ditunda dek pandemic Covid-19.

Membuka tirai pertandingan yang diadakan secara fizikal adalah pertandingan Miss Grand International yang kini sedang berlangsung di Thailand. Jasebel Robert gadis berusia 25 tahun yang merupakan lulusan Komunikasi Massa telah diumumkan awal tahun ini sebagai wakil negara setelah proses pemilihan dilakukan. Ramai tertanya-tanya apakah konsep kostum nasional yang akan dipersembahkan kepada khalayak antarabangsa dan akhirnya ia telah diumumkan hari ini.

Bertemakan Mak Yong, A Unesco Masterpiece, persalinan mewah dalam rona emas itu melambangkan salah satu seni tarian yang telah lama menjadi warisan tradisi di negeri Kelantan. Pada zaman dahulu, Mak Yong adalah tarian teater Melayu yang dipersembahkan untuk hiburan dan upacara penyembuhan terutamanya di Kelantan dan seni tarian itu telah diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Masterpiece of the Oral and Intangible Heritage of Humanity

pada tahun 2005.

Penampilan yang mewah siap dengan replika Rebab.

Busana yang diberi nama Mak Yong Lagenda Khatijah Awang itu merupakan hasil rekaan pereka Ain Mohamed yang juga berasal dari Kelantan. Kostum yang direka merupakan hasil adaptasi dari kostum-kostum yang pernah digayakan oleh Allahyarhamah Khatijah Awang yang merupakan penggiat seni tersebut sehinggalah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 2000.

Menjadikan kostum tersebut lebih menarik, ia turut didatangkan bersama replika Rebab yang merupakan alatan muzik tradisional yang mengiringi setiap persembahan Mak Yong.

Sumber & Gambar: Miss Grand Malaysia

Published by
Fiezreen