Makanan Malaysia PELIK Tapi Buatkan Ramai Selera Makan

Share

 

Bila menyebut soal makanan, Malaysia cukup kaya dengan kepelbagaian makanan.

Ditambah keunikan masyarakat iaitu Melayu, Cina dan India serta pelbagai etnik masyarakat, sudah tentu ada banyak makanan yang dianggap luar biasa bagi kita yang tidak biasa menikmatinya.

Nama makanan ini juga adakala agak pelik dan lucu untuk disebut namun ia adalah kebiasaan masyarakat menyukainya. Sempena sambutan kemerdekaan ke 63 tahun yang bakal disambut 31 Ogos akan datang, REMAJA senaraikan beberapa makanan yang mungkin sedikit pelik tapi ramai berselera memakannya.

Zakar Lembu

Bunyi kedengaran pelik tapi ia merupakan hidangan kegilaan ramai. Hidangan yang menggunakan zakar lembu ini lebih dikenali sebagai sup torpedo

Lelaki ramai yang menyukainya konon untuk kesihatan kelakian. Dan tidak hairan penggemarnya adalah golongan ini.

 

Otak Lembu

Bunyinya lucu kerana jika seseorang itu menunjukkan ketidakpandaiannya, kita akan kata, “kau nie macam otak lembu”. Tapi tahukah korang otak lembu ini sangat sedap.

Ia berlemak dan lembut isinya. Paling sesuai dimasak lemak cili api. Yummy! Ramai kata sedap tapi terpulang kepada semua nak mencuba atau tak?

 

Lidah Lembu

Banyak betul kegunaan lembu rupanya. Mungkin ramai tak percaya tapi lidah lembu juga antara makanan kesukaan ramai. Mungkin ramai geli nak makan tapi lidah lembu ini biasanya dibakar dahulu sebelum dikikis.

Potong nipis-nipis lidah ini. Ia sangat sedap digoreng berlada.Ada juga masak kicap ya termasuk dijadikan kerabu lidah.

 

Sambal Taun Kulit Lembu

Tidak hanya isi dan organnya tapi kulit lembu juga antara hidang yang disukai ramai. Bagi masyarakat Jawa di sini, kulit lembu perlu dijemur untuk dikeringkan. Ia kemudian dibakar sebelum dikikis.

Ia kemudian dipotong halus-halus untuk dibuat keropok atau masak lemak cili padi.

 

Ulat Sagu

Tahukah korang, ulat sagu atau ulat mulong adalah makanan eksotik paling popular di Sarawak. Ia sangat digemari oleh masyarakat Melanau dan Dayak. Ramai tak tahu ia mempunyai khasiat tersendiri termasuk mengurangkan masalah kegemukan.

Minyaknya pula berkhasiat untuk melembutkan rambut. Pengambilan secara kerap dapat mencantikan kulit muka di mana korang akan kelihatan gebu dan semakin cerah.

 

Nasi Landak Laut atau Tehe-Tehe

Nasi tehe-tehe atau nasi landak laut merupakan hidangan berkhasiat dan menjadi kegemaran masyarakat Bajau tapi kini jadi tarikan di kalangan pelancong dan masyarakat lain.

Landak laut atau dikenali sebagai ‘tehe-tehe’ yang biasa hidup di persekitaran batu karang. Kalau korang biasa tonton National Geography landak laut ini selalu menjadi buruan sebab isinya yang manis.

Cara penyediaan makanan ini mudah. Cuci landak laut dan masukkan beras dalamnya dan rebus. Lepas nasi masak, potong landak laut tu dan hidangkan. Ia dipanggil Nasi Himpit ‘Tehe-Tehe’. Ada yang kata rasanya seperti telur ikan tapi memang sedap.

 

Telur Buaya

Ada yang kata telur buaya baik untuk sakit lelah. Saiznya dua kali ganda dari telur biasa. Masyarakat di Tauran Sabah banyak mengamalkannya.

 

 

Kerabu Beronok

Nampak macam gamat tetapi sebenarnya bukan. Beronok merupakan sejenis hidupan laut yang banyak di pantai berselut seperti Langkawi, Kedah.
Orang Langkawi suka buat kerabu dan dimakan bersama nasi. Tapi ada yang suka makan mentah-mentah. Warnanya sama ada kelabu atau merah jambu. Rasanya agak kenyal-kenyal seakan isi kulit kelapa dan sedikit masin. Sekali cuba mesti takkan berhenti mengunyah.

 

 

Belangkas Bakar

Dulu hidangan eksotik belangkas kurang diterima kerana isinya beracun. Tapi kini ia mendapat permintaan tinggi dan disahkan oleh pihak berwajib. Belangkas hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar. Belangkas bukan saja sedap dibakar tapi boleh dimasak sambal dan telurnya dibuat masak lemak cili padi.

 

Belalang Goreng

Makanan ini amat popular di Thailand malah dijadikan snek bagi golongan di sana. Tapi kini belalang goreng sudah mula popular di Kelantan. Ada yang goreng begitu saja tapi ada yang menambah santan bagi menambah rasa enak makanan esotik itu. Nak lebih sedap, ada gunakan serbuk kari dan daun kari untuk menambah rasa pedas.

 

Kaki Ayam

Tidak semua suka menikmati kaki ayam khususnya di kalangan anak muda. Namun khasiat kaki ayam yang banyak mengandungi kalogen ini sangat baik untuk kecantikan. Ia bagus untuk mengekalkan keremajaan kulit serta dapat mengelakkan sendi tulang menjadi rapuh.

Kaki ayam sangat sedap dibuat sup, dibuat kerabu, masak kicap, digoreng garing, gulai mahu pun kari. Ya mungkin pelik bagi tidak memakannya tetapi sangat menyelerakan bagi yang menyukainya.

 

Ambuyat

AMBUYAT sejenis makanan tradisional bagi kaum Brunei dan Bisaya, malah menjadi sajian utama selepas nasi. Suatu ketika dulu ia dihidangkan sebagai menu harian dan hidangan wajib semasa hari-hari istimewa seperti perkahwinan serta hari keramaian kaum berkenaan. Hidangan yang diperbuat daripada sagu rumbia itu amat terkenal di Sabah, Labuan, Sarawak serta Brunei. Kaum Kadazan, Murut, Dusun dan Bajau di Sabah juga amat meminati makanan ini yang dipanggil Linut.

“Dengan sukatan air panas, tepung sagu berkenaan dikacau hingga menjadi kenyal. Ia berwarna jernih dan sedikit melekit. Tidak perlu dikunyah dan boleh terus ditelan. Rasanya tawar, namun ia bergantung pada kuah dan lebih hebat jika kuah lebih masam atau pedas,”

Jadi, inilah uniknya Malaysia, masyarakat yang berbilang kaum.

Published by
Almaswa Haji Che Ros