Ramai di antara kita mungkin pernah terkena bila mana membeli juadah berbuka puasa namun rasanya tidak seperti diharapkan. Walau orang kata tak baik “merungut”tentang rezeki tetapi biasanya bila kita mengeluarkan belanja pastinya kita mahu rasa yang terbaik sesuai dengan nilai kita keluarkan.
Jika Ramadan sesebelum ini kita berpeluang berbuka di hotel lima bintang namun dalam keadaan negara masih mengenakan PKPDB, peluang untuk makan sedap di hotel tiada. Tapi apa yang seronoknya kalau kita memikirkan makanan di hotel agak mahal tapi nampaknya Ramadan ini kita berpeluang membelinya dengan harga masuk akal. Dengan harga serendah RM2 bagi kerabu mangga, kita boleh nikmati juadah berbuka disediakan oleh Hotel Impiana KLCC yang boleh membuat penghantaran ke destinasi korang.
Perkongsian dari Amir Zain yang berkongsi mengenai juadah disediakan oleh Hotel Impiana KLCC ini pasti buat ramai tak sabar nak orderkan.
Sejujurnya, saya amatlah jarang membeli juadah berbuka puasa. Saban tahun, saya dan isteri lebih gemar memasak sendiri.
Tetapi tahun ini sedikit berbeza. Terdetik kewajipan untuk membeli juadah berbuka puasa.
Lebih tepat, perlunya berbelanja agar ada kelangsungan pergerakkan aliran tunai sepanjang rantaian perniagaan.
Hari ini juadah berbuka dibeli dari Hotel Impiana KLCC. Hotel milik Heritage Lane Sdn Bhd, sebuah SPV milik KLCC Berhad, yang juga milik penuh Petronas. Milik negara.
Harga makanan hotel 5 bintang ini saya jamin lebih murah dari harga bazar ramadan, lebih murah daripada GrabFood. Bersih. Pembungkusan tinggi piawai dan paling penting rasa memang 10/10 memang sedap. Cukup menyelerakan.
Sejak PKP bermula, industri paling terjejas ialah perhotelan. Hotel Impiana KLCC telah pun memberhentikan sebahagian kakitangan. Perniagaan mereka teruk terjejas.
Saya amat sedih apabila diberitahu oleh penghantar makanan yang merupakan staff berpangkat pengurus bahawa minggu ini adalah minggu terakhir beliau berkerja.
Kepada para sahabat, terutama comrades saya di Petronas. Jarang saya seru macam ini. Ini bukan promosi berbayar. Saya cuma pohon sokongan membeli juadah berbuka di Impiana Hotel KLCC. Ada khidmat penghantaran.
Harapan saya agar hotel Impiana ini tidak ditutup. Semoga ada kekuatan (kewangan) untuk terus kekalkan kakitangan sehingga situasi pulih.
Moga semua peniaga tabah saat sukar ini. Moga yang punya kewangan jangan berhenti berbelanja. Usaha kita walau sezarah kecil ini, jika diamalkan oleh semua mampu memberi ketahanan terhadap ekonomi Malaysia. Kita kena jaga kita.