Sejak semalam tular gambar seorang makcik yang memakai gelang Pesakit Di Bawah Pengawasan (PUS) sedang makan di sebuah kedai di Meru Raya, Ipoh.
Ekoran itu tular pelbagai komen yang memandang negatif tindakan makcik tersebut yang mana pada menurut perkiraan mereka, makcik itu tidak mengikut arahan untuk kuarantin diri di rumah.
Yezz, korang betul untuk suarakan “kenyataan negetif ” kerana #kita jaga kita.
Terkini, makcik gelang pink itu sah positif COVID-19 dan sudah pun mendapatkan rawatan di hospital. Namun apa yang ingin dikongsikan di sini, gambar ditularkan itu sudah dua minggu berlalu (bukan semalam ya seperti kita fikirkan) dan dirinya sudah pun menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari sebelum disahkan positif.
Menurut laporan Sinar Harian, makcik gelang pink itu sudah dikenal pasti dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Menurut sumber, wanita berusia 72 tahun itu diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Julai lalu.
"Saringan pertama yang dijalankan mendapati wanita tersebut negatif, namun dipakaikan gelang tersebut serta diperintahkan menjalani kuarantin.
"Kejadian itu pula berlaku di sebuah kafe pada 6 Julai lalu bersama keluarganya setelah tiba dari Selangor untuk sarapan sebelum menjalani kuarantin di rumahnya sedangkan gambar itu baharu sahaja tular kelmarin," katanya.
Menurutnya, saringan kedua selepas 13 hari menjalani kuarantin mendapati wanita tersebut positif dan telah dimasukkan ke hospital sejak 17 Julai lalu.
"Wanita itu kini masih dalam rawatan Covid-19 di hospital terbabit bersama anak lelakinya setelah ujian kali kedua didapati positif.
"Berdasarkan penjelasan daripada pihak kesihatan, volume (kandungan) virus adalah kurang dan risiko menjangkiti juga kurang," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara itu setelah siasatan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pada masa sama, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan pelanggaran SOP oleh wanita berkenaan.
Beliau turut menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi SOP memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berjalan dan kes Covid-19 juga masih bertambah di negara ini.