Permulaan tahun 2018 yang dilihat mampu memeriahkan industri seni ternyata memberi mesej, filem tempatan yang dihasilkan masih belum mampu menarik minat penggemar ke pawagam untuk menontonnya.
Bermula dari Januari hingga Mac 2018, sebanyak 6 buah filem sudah memasuki pawagam bermula dari 11 Januari lalu menerusi filem Buskres yang dilakonkan oleh Hafeez Mikhail, Daiyan Trisha, Anas Ridzuan, Stephanie Jessica Terry, Mas Khan, Lia Natalia, Loque dan Elizabeth Tan dengan genre romantik/ muzikal yang dijangka mampu menarik minat orang muda ternyata gagal.
Sangat menyedihkan, jumlah kutipan tiket Busker hanyalah RM68,739.94 sekali pun ditayangkan di 52 buah pawagam tanahair. Dari senarai 6 filem tempatan sehingga Mac, filem arahan Syed Khairul Fariz ini terletak dalam senarai paling bawah dari segi kutipan tiket.
Memasuki pertengahan Januari, filem Best Story (mandarin) terbitan Lomo Pictures Sdn Bhd mula ditayangkan tetapi juga dilihat gagal apabila hanya mampu mengutip hanya RM123, 077.58 selepas selesai dua minggu tayangan.
Kemudian, dengan mempertaruhkan nama besar dalam dunia pengarahan iaitu Aziz M Osman yang mesra disapa Abang Long Aziz yang pernah menghasilkan filem XX Ray suatu ketika dahulu ternyata filem Bukan Malaikat Cinta juga ternyata gagal kerana hanya berjaya mengutip RM134, 324.56 sekalipun menampilan pelakon Nora Danish serta pelakon dari Indonesia Nora Danish, Fachri Albar, Ashraf Muslim dan ramai lagi.
Ternyata pengaruh mempunyai ramai pengikut di Instagram Nora Danish gagal menarik minat penonton untuk mengikuti filem-filem Melayu yang sepanjang 23 tahun penayangan, hanya filem Abang Long Fadil 2 lakonan Zizin Razak yang setakat ini mampu mengaut RM18.15 juta diikuti Polis Evo yang mengutip RM17.47 juta. Inilah saja pencapaian paling tinggi bagi filem tempatan. Wow, masih jauh lagikan rupanya…
Bukan mahu terus mengkritik dunia perfileman tetapi industri seni di Indonesia jauh berbeza kerana filem terbaik mereka iaitu ‘Warkop DKI Reborn: Jangkrik Boss! Bahagian 1’ berjaya mengutip RM67.2 juta diikuti Apa Ada Dengan Cinta 2 (AADC2) iaitu sebanyak RM 35.9 juta.
Filem arahan Riri Riza ini mencetuskan fenomena di Malaysia, Brunei, dan Singapura. Filem lakonan Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra ini menarik lebih 3.6 juta penonton menyaksikannya di pawagam. Mungkinkah jalan cerita yang jauh lebih baik membuatkan penonton tertarik ke pawagam menyaksikannya?
Memasuki bulan Februari, filem Makrifat Cinta yang menampilkan pelakon bergred A seperti Shamsul Yusof, Nabila Huda, Adi Putra, adik Balqis yang dikatakan mampu meruntun hati ternyata terus membuatkan penerbitnya menangis sendirian kerana filem ini hanya mampu mengutip RM138, 686.04 biar diwar-warkan bakal meletup di pawagam kerana jalan ceritanya yang mampu buat orang menangis.
Filem tempatan terus lesu biar kecoh bahawa filem Badang lakonan Dato’Sri Aliff Shukri dikatakan mampu memberi ledakan kerana kos pembikinannya mencecah RM2.5 juta. Kasihannya, filem ini hanya mampu mencatat kutipan tiket sebanyak RM68, 816.17
dan lebih “menang” dengan kisah-kisah sensasinya sahaja.Mengakhiri bulan Februari, filem Mandarin A House Of Happines berjaya mencatat RM928, 511.03 dan itupun masih gagal mengutip RM1 juta ke atas.
Saksikan 6 filem tempatan yang gagal.
Ini pula senarai 30 filem sepanjang 23 tahun yang mencatat kutipan menguntungkan. Sembilu yang menampilan Erra Fazira, Awie dan Ziana Zain ternyata meletup pada 1995 kerana filem ini mampu mengutip lebih 6 juta.