Setelah mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes baharu pada hari ini dan kes aktif melebihi 70,000 kes, Majlis Keselamatan Negara (MKN) 9 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri petang tadi telah memutuskan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ di Malaysia.
Fasa pertama lockdown di seluruh negara ini akan dilaksanakan bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.
Sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara, tidak lama lagi.
Sekiranya lockdown fasa pertama ini berjaya mengurangkan kes harian COVID-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown fasa kedua.
Fasa kedua selama empat minggu ini akan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.
Namun jika jumlah berkenaan masih konsisten seperti sekarang, tidak mustahil fasa pertama lockdown akan disambung setelah 14 Jun kelak.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri lagi, setelah berakhirnya lockdown
fasa kedua, langkah seterusnya ialah fasa ketiga iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang berkuat kuasa sekarang di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.Keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya ini akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19.
Untuk pengetahuan, setakat hari ini seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak COVID-19 dan jumlah kematian semakin meningkat. Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi rekod hari ini.
So guys, amatlah penting untuk kita memberikan Kerjasama penuh terhadap usaha ‘Total Lockdwon’ ini. Teruskan berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Sebaiknya, duduk saja di rumah untuk bersama-sama melandaikan lengkungan jangkitan COVID-19.
ARTIKEL BERKAITAN : Stay Safe Guys, Orang Muda Paling Ramai Dijangkiti COVID-19 Di Gelombang Ketiga Ini – REMAJA