Kebaya menjadi salah satu identiti busana yang cukup sinonim dengan Malaysia. Pelbagai jenis rekaan kebaya menjadi pilihan sebagai contoh kebaya pendek, kebaya labuh, kebarung dan juga kebaya nyonya.
Namun tahukah anda, busana ini bukanlah eksklusif untuk masyarakat negara kita sahaja bahkan ia merupakan pakaian yang sudah turun temurun digayakan oleh wanita di rantau nusantara. Jadi tidak hairanlah jika ada pelbagai jenis rekaan kebaya yang boleh anda lihat di luar Malaysia.
Baru-baru ini, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bersama-sama dengan Brunei, Singapura dan Thailand telah bersepakat untuk mengangkat kebaya sebagai pencalonan bersama ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity
bagi tahun 2023.ARTIKEL BERKAITAN: Ratu Cantik Thailand Anggun Berbusana Kebaya, Angkat Budaya Masyarakat Selatan
Persetujuan yang dicapai untuk bersama-sama membawa seni ini sebagai satu warisan bersama menonjolkan kesepakatan dan juga sikap yang saling menghormati antara satu sama lain dalam mencapai objektif kebaikan, terutamanya dalam melindung warisan sejak berzaman.
Walaupun empat negara ini yang telah bersetuju, menurut kenyataan mengenai perkara ini, mereka turut mengalu-alukan penglibatan negara serantau lain untuk menyertai pencalonan bersama itu.
Kebaya dilihat menepati definisi elemen warisan, kebudayaan tidak ketara kerana ia melibatkan kemahiran tenunan tradisional seperti sulaman dan teknik jahitan untuk menghasilkan pakaian wanita tradisional.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.