Malaysia Pernah Jadi Juara Sukan SEA Pada Minggu Ini, 20 Tahun Lalu

Share

 

Pejam celik pejam celik, sekejap saja rasanya masa berlalu sejak Malaysia menganjurkan acara Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) di Kuala Lumpur pada tahun 2001. Kali terakhir Kuala Lumpur menjadi tuan rumah sebelum itu adalah 12 tahun sebelumnya iaitu pada tahun 1989 manakala kita perlu menunggu 16 tahun kemudiannya sebelum dapat menjadi tuan rumah sekali lagi pada tahun 2017.

Entah-entah, kebanyakan dariapda korang pun masih belum dilahirkan pada tahun 2001 lagi.

Tarikh 17 September ini amat istimewa buat rakyat Malaysia pada 20 tahun lepas memandangkan pasukan kita dinobatkan sebagai juara keseluruhan buat penganjuran Sukan SEA pada tahun itu di halaman sendiri. Ini juga merupakan kali pertama Malaysia bergelar juara sepanjang penyertaan di temasya tersebut.

Dalam upacara penutup di Stadium Nasional Bukit Jalil itu yang baru saja pernah melangsungkan Sukan Komanwel tiga tahun sebelum itu, Malaysia mencatatkan kutipan penuh sebanyak 1280 pingat yang merangkumi 111 pingat emas daripada 392 pingat emas yang dipertandingkan. Sehingga sekarang, rekod tersebut belum pernah dipecahkan oleh Malaysia dalam penyertaan di Sukan SEA.

Sumber Foto : Twitter @TeamMsia

Di hadapan penonton yang memenuhi tempat duduk stadium, atlet equestrian negara iaitu Mohd Qabil Ambak Mohamad Fathil telah dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik manakala gelaran Olahragawati Terbaik pula diberikan kepada pelari pecut Thailand, Supayadee Khawpeag.

Mohamad Qabil Ambak bersama-sama Supayadee Khawpeag. dari Thailand. Sumber Foto : Twitter @TeamMsia

Atlet yang mula menunggang kuda ketika berusia 10 tahun dan mula mewakili Malaysia semasa berusia 15 tahun ini berjaya meraih pencapaian cemerlang dengan empat pingat emas dalam acara dressage dan showjumping bersama dua ekor kuda yang diberi nama Camelias dan Pizazz Girande.

Sumber Foto : Twitter @TeamMsia

Perdana Menteri pada waktu itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi individu yang mengisytiharkan temasya tamat, obor rasmi dipadamkan dan bendera Sukan SEA diturunkan. Selepas itu, tugas sebagai tuan rumah diserahkan kepada hos seterusnya pada tahun 2003 iaitu Vietnam.

Biarpun 20 tahun telah berlalu, ingatan penulis yang masih di sekolah rendah lagi pada waktu itu masih tajam dan boleh membayangkan semula momen tersebut.

Untuk pengetahuan, Sukan SEA telah ditundakan dari 2021 ke tahun 2022 akibat pandemik COVID-19 dan akan dilangsungkan di Hanoi, Vietnam. Ini merupakan kali kedua Vietnam menjadi tuan rumah selepas kali pertama pada tahun 2003, iaitu selepas Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kepada edisi memberangsangkan pada tahun 2001.

Selain Sukan SEA pada tahun hadapan, kalendar sukan 2022 atlet Malaysia akan menjadi padat dengan adanya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing (Februari), Sukan Komanwel Birmingham (Julai-Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (September).

Published by
FZ