Malaysian Philharmonic Youth Orchestra (MYPO) pada tahun ini menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-10. Idea penubuhan orkestra dibarisi anak muda ini merupakan impian bekas Pengerusi PETRONAS, Tun Azizan Zainul Abidin untuk memberikan platform kepada mereka untuk mempersembahkan bakat dalam bidang muzik . Pada 13 Januari 2006, seramai 500 pemuzik dari serata tanah air datang untuk menghadiri uji bakat dengan purata umur 18 tahun. Dan seramai 110 orang telah dipilih menjadi generasi pertama MYPO.
Pada hari ini, MYPO mempunyai seramai 98 orang ahli yang masih aktif. Objektif penubuhan MYPO tidak lain tidak bukan untuk mencari dan mengasah bakat pemuzik muda dan mengembangkan minat mereka ke pentas lebih besar. Bersempena sambutan ulang tahun ke-10, MYPO mengumumkan mereka bakal mengadakan konsert eksklusif bersama Orkestra Tradisional Malaysia dan Datuk Ramli Sarip.
Bertemakan Konsert Tanah Airku, kolaborasi ini bakal dilangsungkan di Dewan Filharmonik PETRONAS (DEP) pada 17 dan 18 November 2017. Kerjasama MYPO dan OTM bukanlah satu perkara yang baru kerana kedua-duanya pernah bekerjasama buat pertama kali pada tahun 2014. Selain kolaborasi bersama OTM, mereka juga pernah melakukan kerjasama serupa dengan Yayasan Warisan Johor, Hong Kong Children’s Symphony dan Queensland Youth Symphony Orchestra.
Menurut Ahmad Muriz Che Rose, Head of MYPO, konsert istimewa ini akan terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai sebuah orkestra yang mempunyai jiwa muda dan membawa muzik ke aras lebih tinggi terutama di kalangan pemuzik muda. “Antara misi utama MYPO ialah memberi galakan serta platform kepada pemuzik muda untuk mengembangkan bakat mereka agar menjadi pemuzik yang versatil dan boleh menggalas apa jua corak persembahan. Orang muda perlu ada kemahiran untuk read, play and perform. Jadi di sinilah peranan MYPO sebagai sebuah platform buat mereka,” jelasnya lagi.
Untuk persembahan Konsert Tanah Airku MYPO dan OTM bakal mempersembahkan lagu-lkagu tradisional rakyat seperti Sri Mersing, Laksamana Raja Di Laut, Joget Irish For Sitar, Dialog Cak Lempong, Pantun Budi dan Serampang Laut. Bagi segmen ini Ahmad Muriz bekerjasama dengan konduktor dari OTM iaitu Mohd Yazid Zakaria.
“Walaupun konsert ini bersifat moden namun ia mempunyaijiwa tradisional yang sangat kuat. Seni tidak mengira genre dan melangkau sebarang budaya. Jika sesiapa menonton persembahan ini pasti dapat merasakan jiwa nusantara yang kami terapkan,” tambah Mohd Yazid yang sebelum ini pernah terlibat dengan artis terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Rossa.
Legenda rock, Datuk Ramli Sarip pula bakal mempersembahkan persembahan istimewa dengan lagu-lagu seperti Kamelia, Teratai, Kau Yang Satu dan Syair Laila Majnun. Ia merupakan penampilan ketiga beliau di pentas DBP namun merupakan persembahan pertama bersama MYPO. Jelas Datuk Ramli Sarip, dia cukup teruja dengan kolaborasi ini dan merupakan peluang untuk menarik lebih ramai orang menghargai muzik serta lagu-lagu tradisional yang mungkin tidak berapa dikenali oleh orang muda.
Tiket Konset Tanah Airku kini boleh didapati dengan harga RM60 dan RM100. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan hebat dari MYPO, OTM dan Datuk Ramli Sarip. Untuk maklumat lanjut layari laman web rasmi DFP, www.mpo.com.my atau Facebook mereka, www.facebook.com/malaysianphilharmonic/.