Berita

Malaysia #QuranHour 2024 Angkat Tema ‘Jiwa Merdeka’ Sempena Ulang Tahun Sedekad

Share

Genap sedekad, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) berjaya mengadakan kerjasama bersama pengamal media cetak, penyiaran, dan digital serta rakan strategik bagi melancarkan gelombang Malaysia #QuranHour 1446H/2024.

Majlis Taklimat Sinergi Media diadakan di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, sebagai persiapan akhir untuk acara yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos 2024.

Malaysia #QuranHour kali ke-10 ini mengangkat tema “Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara” dengan panduan Surah al-Jumu’ah dan Surah al-Hujurat. Program ini bertujuan untuk memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia melalui penghayatan Rukun Negara serta nilai-nilai murni dalam al-Quran dan Sunnah.

ARTIKEL BERKAITAN: Putera Sulung Aidid Marcello Berjaya Hafaz 30 Juzuk Al-Quran Dalam Tempoh 11 Bulan!

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff, menyatakan bahawa kejayaan program ini adalah hasil kerjasama erat dengan pelbagai organisasi. Penglibatan dari agensi media, kerajaan, korporat, NGO, dan institusi pendidikan menunjukkan komitmen mereka dalam penyatuan rakyat Malaysia.

“Sejak 2015, kempen #QuranHour termasuk World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour, dan World #QuranHour telah mencapai keseluruhan 7.3 bilion capaian sosial di 76 negara,” ujar Marhaini.

RTM sebagai penyiar utama menggalakkan semua rakan media untuk mengambil “live feed” Malaysia #QuranHour bagi memastikan siaran serentak pada hari tersebut.

Program ini akan disiarkan secara langsung dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, dari pukul 10 pagi hingga 11 pagi ini dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan disokong oleh pelbagai rakan sinergi seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Selain itu, universiti awam danorganisasi yang berdaftar seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Majlis Perwakilan Pelajar USIM, Rasuah Buster, Karya Bestari, Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, serta badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

Malaysia #QuranHour yang bertemakan ‘Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara’ mengandungi makna yang mendalam iaitu peralihan dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah SWT, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dan dari kezaliman kepada keadilan Islam, sebagaimana dinyatakan dalam Kitab Al-Bidayah Wa Al-Nihayah.

Antara wakil media yang terlibat termasuk Astro Oasis, TV Alhijrah, TV9, Astro Awani, RTM, Bernama, Utusan TV, Utusan Malaysia, Sinar Harian, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Media Prima, New Straits Times Press (NSTP), Zayan FM, dan Denaihati.com.

Misi Malaysia #QuranHour 2024 adalah untuk membentuk perpaduan dan kesatuan hati melalui pemahaman nilai keimanan yang sempurna.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath