Pelakon dan penyanyi, Kilafairy bersederhana dalam menyambut Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini, selepas kehilangan ibu tercintanya yang juga penyanyi veteran, Allahyarham Rohana Jalil.
Menurut laporan media tempatan, pelakon filem popular Hoore! Hoore! itu mendedahkan dia tidak membuat sebarang persiapan raya dan hanya fokus kepada keluarganya sahaja.
“Baju raya pun saya tak beli. Tiada raya tahun ini untuk saya. Malah saya akan raya dengan mama kat kubur dia. Macam mama pernah pesan pada saya, reda dengan semua ketentuan Allah, insya-Allah semuanya akan okey.
“Fokus saya sekarang ialah pada yang masih ada iaitu papa, adik-beradik, sepupu dan lain-lain. Ustazah saya kata, Mama akan gembira kalau kita gembirakan orang-orang dia sayang yang masih hidup.
“Jadi, untuk tidak rasa sedih sangat, saya pastikan buat amal jariah dan sebagainya untuk mama setiap hari dalam hidup saya selagi saya masih hidup,” katanya.
Tambah Kilafairy lagi, dia masih sukar untuk melupakan setiap momen bersama ibunya selama hidup bersama.
“Memang tak boleh nak fikir kerana banyak sangat. Cuma, saya rindu masakan mama. Ya Allah rindunya keceriaan dia.
“Mama ini ibarat ‘sunshine’ dalam hidup kami. Sentiasa ceria setiap hari dan menggembirakan hidup kami. Sekarang cahaya matahari dah hilang. Saya tak akan pernah jadi orang yang sama seperti saya sebelum ini,” ujarnya.
Sekadar info, Allahyarham Dara Abdul Jalil atau Rohana Jalil telah meninggal dunia pada 20 Jun tahun lalu ketika berusia 68 tahun akibat kebocoran pada usus perut.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Kilafairy