Melihat anak memegang segulung ijazah adalah satu hadiah buat ibu bapa, namun begitu bukan semua ibu bapa dapat merasai nikmat tersebut pada hari graduasi. Ajal maut di tangan tuhan, kerana Allah lebih menyayanginya, anak ini dijemput ilahi lebih awal daripada orang tuanya.
Detik sebak itu dilalui oleh penyanyi yang popular dengan lagu ‘Di Persimpangan Dilema’, Datuk Nora Ariffin sewaktu hari konvokesyen. Dia merakam detik si ibu yang menggantikan tempat arwah anaknya mengambil sijil sambil menahan sebak.
Beliau mewakili arwah anaknya, Muhammad Syakir Alif Johan menerima skrol diploma di Majlis Konvoskesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-95 baru-baru ini.
Melalui satu hantaran yang dikongsi di Instagram, Nora seisi keluarga berasa bangga dan gembira dengan pencapaian arwah Alif Johan.
ARWAH SEMPAT MENGHABISKAN PENGAJIANNYA DI PERINGKAT DIPLOMA DALAM JURUSAN DIPLOMA PERFILEMAN DI FAKULTI FILEM, TEATER DAN ANIMASI DI UITM CAWANGAN PUNCAK PERDANA, SELANGOR SEBELUM KEMBALI MENEMUI PENCIPTA-NYA.
“Ini untuk Alif. Mama tolong ambilkan ya. Alhamdulillah. Tahniah. Moga Alif tenang di sana. Terima kasih kepada semua tenaga pengajar UiTM FITA dan sahabat-sahabat yang memberi sokongan pada Alif selama hayatnya. Terima kasih UiTM. Moga legasi arwah dapat diteruskan,” tulis Nora atau nama penuhnya Wan Norafizah Wan Ariffin.
Menerusi video yang dikongsikan laman Facebook Universiti Teknologi Mara, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin berkongsi serba sedikit tentang perihal arwah anaknya itu.
Menurut Nora, Alif berjaya menamatkan pelajaran dalam jurusan Diploma Perfileman di Fakulti Filem, Teater & Animasi di UiTM cawangan Puncak Perdana. Meskipun berasa sedih kerana arwah tidak ada bersama semasa momen bersejarah tersebut, Nora berkata kejayaan Alif adalah pemangkin semangat buat dua orang adiknya untuk terus berjaya dalam bidang pelajaran.
Di samping itu, Nora turut memberitahu bahawa arwah seorang yang sangat rajin dan banyak mengambil alih dalam bahagian kreatif termasuklah membantunya dalam menghasilkan video. Sebagai ibu, Nora reda dengan pemergian Alif.
Perkongsian Nora menerusi Instagram mendapat respon dalam kalangan warga maya. Ramai yang menzahirkan kegembiraan atas kejayaan Allahyarham dan dalam masa sama berkongsi rasa sayu.
Sumber: Nora
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.