Demam Sukan Olimpik secara rasmi telah ‘menyerahkan baton’ kepada temasya Sukan Paralimpik yang baru saja meraikan upacara pembukaannya pada malam ini.
View this post on Instagram
Biarpun kedua-dua temasya sukan ini disertai dua kelompak atlet berbeza dan juga menganjurkan acara sukan yang sedikit berlainan antara satu sama lain, satu perkara yang kekal sama sejak Sukan Olimpik lalu hingga Sukan Paralimpik sekarang adalah keinginan masyarakat Tokyo untuk membendung masalah alam sekitar di sana.
Sejak hari pertama penganjuran Sukan Olimpik lagi, sekumpulan penduduk tetap berdekatan perkampungan sukan di sana menawarkan diri mengutip sampah-sarap di sekeliling Stadium Olimpik Tokyo.
Ia bukan saja demi mengelakkan isu pencemaran, usaha ini juga adalah demi menawarkan layanan mesra dan bersih kepada delegasi yang hadir ke Jepun. Rupa-rupanya, budaya ini juga telah dipraktikkan semasa Tokyo menganjurkan Sukan Olimpik dahulu pada tahun 1964.
Sekitar jam 8 pagi saja, kumpulan yang terdiri daripada 30 orang sukarelawan itu boleh dilihat mengutip dan mengumpulkan sampah sepanjang jalan raya berdekatan stadium dekat Shibuya. Bukan setakat itu, mereka juga akan mengasingkan objek mengikut kategori seperti tin minuman, botol plastik, puntung rokok dan lain-lain sampah sarap.
Semua ini dilakukan sambil menjaga SOP yang ditetapkan. Cuba bayangkan, dalam masa sejam saja sewaktu hari terakhir Sukan Olimpik, kumpulan ini berjaya mengutip 5 ‘batch’ sampah berkapasiti 45 liter.
Nampaknya, penduduk Tokyo memang mementingkan imej yang dilihat oleh pengunjung yang akan menetap di sana untuk tempoh dua minggu paling maksimum. Imej bersih itu ingin mereka sematkan dalam ingatan pengunjung.
Tidak hairanlah apabila Jepun disebut sebagai sebuah negara yang menyediakan tong sampah paling sedikit di tempat awam dan masih mampu mengekalkan kebersihannya.Ini kerana penduduk di sana juga sudah terbiasa membawa beg plastik ketika berada di luar agar sampah yang mereka hasilkan boleh dibuang setelah sampai ke rumah atau tempat kerja.
Seharusnya, Malaysia juga mencontohi budaya masyarakat Jepun ini. Mulakannya daripada persekitaran di rumah dan kemudian ajarnya di sekolah. Kalau tidak, sampai bila-bilalah sungai kita akan menjadi ‘habitat’ kepada sampah sarap.
Sumber : (1)