Nahas pesawat ringan Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Elmina, Shah Alam petang semalam bukan sahaja meragut nyawa enam penumpang dan dua kru pesawat ringan terbabit.
Malah, dua orang awam yang masing-masing merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta jenis e-hailing Grab yang kebetulan berada di tempat kejadian juga maut sekaligus menjadikan jumlah mangsa kepada sepuluh orang.
Bercakap kepada pemberita sewaktu ditemui pagi ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pemandu kereta yang bertugas untuk Grab Malaysia itu disyaki berseorangan di dalam kenderaan semasa kejadian berdasarkan kepada pemeriksaan log dengan pihak Grab Malaysia.
“Pemandu kereta (e-hailing) itu sebenarnya dia sudah reject ambil penumpang dari pukul dua (petang). Kita sudah check dengan Grab (Malaysia) dan dia memang reject penumpang. Jadi kita syaki bahawa dia seorang (bersendirian). Buat masa ini, kita anggap dia seorang (di dalam kereta),” katanya.
Begitupun, pihaknya masih menunggu laporan ujian DNA dan proses pengenalan identiti yang dijalankan terhadap cebisan mayat mangsa-mangsa yang ditemui sebelum membuat kesimpulan rasmi.
Dalam perkembangan berkaitan, anak kepada pemandu Grab, Allahyarham Sharipuddin Shaari, 53 berkata, kali terakhir bapanya menghubungi ibunya adalah pada jam 2.15 petang semalam semasa sedang berehat di sebuah restoran. Mangsa juga katanya sempat berada di sekitar Elmina bagi mengambil pelanggan dan bercadang untuk pulang awal selepas selesai bekerja.
Sementara itu, menerusi sidang media oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada jam 7.20 petang semalam dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang; beliau menyatakan nama-nama mangsa secara rasmi kepada pemberita dan ia terdiri dariapda kru, penumpang serta orang awam.
Juruterbang:
Shahrul Kamal Roslan
Heikal Aras Abdul Azim
Penumpang:
Datuk Seri Johari Harun
Kharil Azwan Jamaludin
Shaharul Amir Omar
Mohammad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi
Muhammad Taufiq Mohd Zaki
Idris Abdol Talib @ Ramali
Orang Awam:
Pekerja e-hailing, Sharipuddin Shaari
Pekerja p-hailing, Muhammad Hafiz Muhamad Salleh
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.