Pemenang tempat kedua Asia’s Got Talent musim kedua, Yaashwin Sarawanan atau lebih dikenali sebagai manusia kalkulator kini sudah menerbitkan komik matematiknya sendiri untuk berkongsi teknik mengira yang digunakan sepantas kalkulator.
Apa yang menarik tentang komik ini adalah semua pengisiannya berdasarkan watak Yaashwin sendiri bersama seorang lagi rakannya, di mana dia akan mengajar tip dan trik kepada rakannya itu. Lukisan dalam komik ini juga berwarna-warni dan mempunyai penceritaan yang menyeronokkan.
“Sebenarnya sudah lama saya nak menulis buku. Cuma idea saya hanyalah buku yang biasa dan bukannya dalam bentuk komik. Jadi bila saya berjumpa dengan penerbit dan illustrator, illustrator saya, Abang Farish memang pelukis komik. Jadi Abang Farish terus suggest untuk buat dalam bentuk komik supaya menarik perhatian kanak-kanak untuk membaca buku ini,”
“Buku ini sebenarnya mengajar cara penggunaan sempoa serta pengiraan jari (pengiraan dalam minda). Trik lain juga seperti punca kuasa tiga, trik kalendar (meneka hari minggu seawal tahun 1700) dan banyak lagi yang saya muatkan ke dalam buku ini, seperti apa yang saya telah buat di pentas Asia’s Got Talent dan Ceria Megastar,” jelasnya.
Ketika dihubungi, Yaashwin menjelaskan buku ini juga sesuai dibaca oleh kanak-kanak yang mempunyai pengetahuan asas tambah, tolak, darab dan bahagi. Mereka boleh belajar bersama bimbingan ibu bapa yang mungkin akan memberi sedikit bantuan untuk pengiraan lebih rumit seperti punca kuasa (penerangan yang terang sudah ada dalam buku).
Komik Human Calculator ini ditulis dalam bahasa Melayu dan mengikut perancangan akan datang, ia bakal diterbitkan dalam bahasa Inggeris pula.
“Menurut publisher, kami mungkin akan menerbitkan versi Bahasa Inggeris. Kami juga dalam perancangan untuk membuat kolaborasi dengan pakar matematik yang lain dan saya berharap dapat menerbitkan buku kedua saya dalam masa terdekat ini,” sambungnya lagi.
Komik yang dijual dengan harga RM25 ini boleh didapati secara online di https://whitecoat.onpay.my/order/form/wc001
Tahniah Remaja ucapkan kepada Yaashwin kerana telah menerbitkan komiknya sendiri dan apa yang menariknya, dia turut berkongsi tip dan trik untuk mengira dengan pantas.
Kami percaya dengan adanya komik ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu pelajar untuk lebih mahir dalam membuat pengiraan.