Model dan personaliti media sosial, Marissa Dania Hakim akhirnya tampil buka mulut mengenai keputusan bernikah secara senyap dengan Aslam, pada Disember lalu.
Memetik laporan media tempatan, anak perempuan kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim itu terlebih dahulu memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak kerana mengambil masa lama untuk menjelaskan tentang pernikahannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Giliran Wajah Marissa Dania Pula Di ‘Censored’ Jenama Tempatan
Menurutnya, dia memerlukan masa dan ruang untuk menyelesaikan masalah rumah tangga tanpa campur tangan pihak luar.
“Saya mohon maaf kerana sudah melukakan hati banyak pihak termasuk keluarga. Saya bukan mahu mengelak atau melarikan diri, sebaliknya saya mahu menjaga nama baik keluarga dan semua pihak yang terbabit.
“Ini adalah jalan yang saya dan Aslam pilih (hidup berpoligami). Jadi saya mohon semua pihak beri ruang untuk kami menyelesaikan masalah rumah tangga tanpa campur tangan pihak luar.
“Insya-Allah semuanya akan baik-baik saja. Saya sedang berusaha ke arah itu dan doakan semoga semuanya berjalan lancar,” katanya.
Ditanya pula mengenai hubungan antara suaminya dengan ahli keluarga, gadis berusia 19 tahun itu bersyukur mereka dapat memaafkan dan menerima kehadiran Aslam.
“Saya akui pernikahan kami mendapat tentangan daripada keluarga. Tiada ibu bapa yang bersetuju dengan pilihan seperti ini, lebih-lebih lagi usia saya yang masih muda. Saya dan Aslam tidak mahu hubungan kekeluargaan ini terputus atau dilanda masalah.
“Jadi kami kuatkan semangat dan harunginya bersama. Walau apapun rintangan yang datang, saya dan Aslam akan cuba selesaikan masalah yang berlaku satu demi satu,” ujarnta lagi.
Sekadar info, Marissa dan Aslam telah mendirikan rumah tangga secara senyap di Songkhla, Thailand pada Disember tahun lalu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Harian Metro