Masalah Gigi Berlapis, Ini Punca & Rawatan Yang Boleh Dilakukan

Share

Masalah gigi tidak tersusun atau lebih biasa dipanggil gigi berlapis mungkin mendatangkan ketidakselesaan kepada seseorang individu kerana menganggap penampilan mereka akan menjadi tidak menarik disebabkan hal itu.

Menurut The Diagnosa, gigi berlapis merupakan satu kondisi dimana tiada ruang yang mencukupi untuk gigi kekal tumbuh secara normal dan menyebabkan ia keluar di posisi yang tidak sepatutnya. Situasi ini akan mendatangkan pelbagai masalah dalam jangka masa panjang jika tiada rawatan dijalankan.

Gambar hiasan (unsplash.com)

Oleh yang demikian, ramai yang mengambil langkah untuk memakai braces bagi memulihkan keadaan gigi mereka. Namun begitu, sejauh mana pengetahuan kita tentang penggunaan braces ini?

Dan adakah korang faham tentang masalah gigi berlapis yang sebenar?

Jom kita ikuti kupasan daripada The Diagnosa ini.

Tergolong dalam 3 kategori

Masalah gigi berlapis boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu:

• Kategori ringan: Satu gigi depan dirahang atas atau bawah terpusing

• Kategori sederhana: Dua ke tiga gigi depan dirahang atas atau bawah berlapis

• Kategori teruk: Lebih daripada tiga gigi depan dirahang atas atau bawah berlapis

Gambar hiasan (unsplash.com)

Punca

Ada beberapa faktor yang menyebabkan masalah gigi berlapis dan antaranya adalah seperti berikut:

• Faktor keturunan

• Saiz gigi yang lebih besar daripada tulang rahang

• Kehilangan awal gigi susu daripada waktu sepatutnya

• Bilangan gigi lebih daripada biasa

• Tabiat menghisap jari, menggigit pensel atau menggigit bibir

• Gigi susu tidak tertanggal dan menjejaskan pertumbuhan gigi kekal (terhimpit dan terimpak)

• Penggunaan puting kosong semasa kecil lebih lama daripada biasa

Cara pencegahan

Rupa-rupanya masalah gigi berlapis ini boleh dicegah, namun ia perlu dilakukan seawal umur 6 bulan. Namun begitu, penjelasan ini boleh memberikan korang kesedaran serta ilmu untuk masa hadapan.

Terdapat beberapa cara pencegahan dan bagi ibu bapa, mereka dinasihatkan untuk membawa anak-anak membuat pemeriksaan gigi sejak usia mereka 6 bulan dimana waktu pertumbuhan gigi pertama kanak-kanak.

Gambar hiasan (unsplash.com)

Cara pencegahan yang boleh dilakukan:

• Lakukan pemeriksaan gigi secara rutin, iaitu setahun sekali sejak usia mereka adalah 6 bulan

• Jangan panik jika gigi anak korang tumbuh lambat dari kanak-kanak lain, setiap kanak-kanak mempunyai kadar pertumbuhan yang berbeza. Namun begitu, perlu untuk sentiasa peka terhadap kondisi anak

• Bawa anak-anak ke klinik gigi berdekatan jika korang tidak pasti tentang masalah gigi tersebut (gusi berdarah, gigi goyang dan sebagainya)

• Cara memberus gigi, pengawalan makanan manis, serta pendedahan terhadap kepentingan penjagaan mulut perlu ibu bapa tekankan kepada anak-anak pada usia muda. Nanti dah terlambat, menyesal pula

Rawatan yang boleh dibuat

Kebanyakan rawatan masalah gigi berlapis bergantung pada umur pesakit dan tahap teruk kondisi gigi tersebut. Namun begitu, rawatan ortodontik merupakan rawatan yang dikatakan paling berkesan dan paling diterima ramai. Ia merangkumi pelbagai prosedur seperti cabut gigi, pemakaian aplians ortodontik dan banyak lagi.

Berikut merupakan pilihan rawatan untuk gigi berlapis:

• Pendakap gigi (braces)

• Pemakaian applians boleh tanggal (removable appliance)

• Pendakap gigi plastik (clear aligners)

• Sarung gigi palsu (crowns and veneers)

Gambar hiasan (unsplash.com)

Walau bagaimanapun, rawatan-rawatan ini tidak semuanya dapat memenuhi kehendak pesakit kerana ia bergantung dengan kondisi gigi, tulang dan kesihatan pesakit secara menyeluruh.

Jadi, jalan terbaik adalah korang perlu berjumpa dengan pakar untuk mendapatkan nasihat rawatan. Ingat, jangan pandai-pandai pula ya. Lebih-lebih lagi terpedaya dengan fake braces yang banyak ditawarkan di media sosial.

Sumber: The Diagnosa

Published by
Noor Ain Norman