Isu bakal jemaah haji terkandas untuk menunaikan rukun islam kelima ini bukanlah sesuatu perkara baharu. Sejak dulu lagi, banyak kes yang melibatkan jemaah haji sama ada tidak dapat ke Makkah atau dibawa pulang ke Malaysia gara-gara visa mereka tidak dapat disahkan oleh kerajaan Saudi.
Rakyat Malaysia yang ingin menunaikan ibadah haji biasanya akan melalui Tabung Haji, namun semua sudah sedia maklum bahawa giliran menunggu boleh memakan masa sehingga puluhan tahun. Oleh yang demikian, bagi individu yang berkemampuan mereka mengambil peluang untuk mendaftar haji dengan agensi pelancongan yang menawarkan pakej tersebut.
Untuk pengetahuan, bagi agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji, mereka menggunakan visa furada, iaitu visa haji yang tidak melalui Tabung Haji dan ia diberikan dari Kedutaan Arab Saudi.
Penjelasan tentang visa furada ini pernah dijelaskan oleh seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai Faisal Rahim. Menurutnya, memang benar ramai yang menggunakan visa furada untuk menunaikan ibadah haji setiap tahun, namun yang gagal pun ramai juga. Ia adalah satu risiko yang perlu ditanggung.
Kadangkala bukan salah agensi pelancongan. Mereka sudah membayar penginapan dan sebagainya di Makkah tetapi dipermainkan oleh orang Arab. Setibanya di Makkah banyak lagi perkara perlu dibayar. Itu belum lagi pakej kelas pertama tapi dapat kelas keempat. Janji pakej berharga RM39k, sebelum terbang minta lagi RM10k (visa). Di Jeddah kena bayar SR6k Muassasah sana lagi. Hotel jauh 4 kilometer, sampai hotel kena tambah duit lagi.
Ha, macam-macam lagi cerita tentang pakej ibadah haji persendirian ini.
Secara ringkasnya, visa furada ini sebenarnya sah. Mereka dikira jemaah haji antarabangsa bukan dari Tabung Haji. Lokasi khemah di Arafah, Mina dan lain-lain semuanya berbeza. Ada yang duduk di khemah dengan orang dari China. Sasaran mereka adalah untuk segera menunaikan ibadah haji tanpa kuota Tabung Haji.
Namun, diingatkan ia adalah sangat berisiko kerana pihak Tabung Haji tidak akan membantu. Jika ingin pergi juga menggunakan visa furada ini, cari organisasi yang besar. Kalau tak memang risiko tinggi untuk korang tidak dapat melakukan ibadah haji.
Sebaiknya guna visa yang dikeluarkan oleh Tabung Haji. Bukanlah kita tidak boleh menggunakan visa furada ini kerana ramai juga jemaah haji yang berjaya menunaikan ibadah, namun ada risiko yang perlu ditanggung sekiranya menggunakan visa ini.
Diharap perkongsian ini dapat memberi pencerahan tentang isu bagai jemaah haji boleh ditipu oleh agensi-agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab ini.
Sumber: (1)
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.