Masalah Sukar Tidur, Ini 5 Cara Yang Korang Boleh Buat Untuk Lelap Dengan Mudah

Share

Masalah sukar untuk tidur memang selalu dihadapi oleh orang muda dan disebabkan oleh itu, mereka sering ‘berjaga’ malam dan bila sudah awal pagi barulah mata rasa mengantuk.

Siapa yang pernah mengalami masalah tidur mesti faham akan situasi ini. Betul tak? Sebenarnya tidak elok jika korang ubah waktu tidur yang seharusnya dilakukan pada malam hari dan bukannya waktu siang.

Jadi, kami nak kongsikan dengan korang beberapa kaedah saintifik yang boleh diamlakan bagi membantu badan dan minda tidur dengan cepat.

Cara untuk tidur dalam masa 10 saat

1. Cara militari

Relakskan otot wajah korang, termasuk bahu dan tangan. Letakkan tangan di sebelah badan. Tarik nafas dan hembus. Relakskan kaki, betis dan paha korang. Kosongkan fikiran selama 10 saat dengan membayangkan pemandangan yang menenangkan. Jika tidak berhasil, korang perlu katakan pada diri sendiri “Jangan berfikir” sebanyak yang mungkin. Dalam masa 10 saat, sepatutnya korang dah boleh tidur.

Jika kaedah ini tidak berhasil juga, korang mungkin perlu belajar teknik pernafasan dan cara merelakskan otot. Jika korang menghidap anxiety disorder atau ADHD, cara ini mungkin kurang berkesan untuk korang.

Kredit foto: cdc.gov

Cara untuk tidur dalam masa 60 saat

Jika korang masih belum pernah mencuba kaedah ini, korang mungkin mengambil masa 2 minit untuk tidur.

2. Kaedah pernafasan 4-7-8

Menggabungkan kuasa meditasi dan visualisasi, teknik pernafasan ini jadi lebih berkesan sekiranya korang kerap berlatih. Jika korang mempunyai masalah pernafasan seperti asma, COPD, bincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum melakukannya kerana teknik ini mungkin mencetuskan simptom untuk korang.

Sebelum mula, letakkan hujung lidah menyentuh lelangit di belakang barisan gigi hadapan. Biarkan bibir sedikit terbuka dan buat bunyi seperti korang menghembus nafas keluar. Kemudian, tutup bibir dan tarik nafas secara perlahan melalui hidung.

Kira sehingga 4. Tahan nafas selama 7 saat. Kemudian, hembus nafas dengan bunyi selama 8 saat. Elakkan dari terlalu fokus sehingga terjaga sepanjang teknik ini. Lakukan sebanyak 4 kali.

3. Progressive muscle relaxation (PMR)

Kaedah ini disyorkan oleh para doktor bagi pesakit insomnia. Sebelum mula, amalkan teknik 4-7-8 dan bayangkan semua stres meninggalkan korang dengan setiap hembusan nafas. Kerutkan dahi selama 5 saat sekuat yang boleh. Ini akan mengetatkan otot dahi. Kemudian, relakskan otot tersebut dengan segera dan rasakan tekanan menurun. Tunggu 10 saat.

Selepas itu, senyum selebar mungkin bagi mengetatkan otot di pipi dan muka. Tahan selama 5 saat. Relaks. Berhenti sekejap selama 10 saat. Kemudian, tutup mata secara rapat selama 5 saat. Relaks. Berhenti lagi sekejap selama 10 saat.

Gerakkan badan korang dari atas ke bawah, dari lengan, dada, paha dan kaki. Ketatkan otot-otot kemudian relaks. Biarkan diri korang tidur walaupun korang masih belum selesai mengerjakan keseluruhan anggota badan.

Ketika korang melakukan teknik di atas, fokus kepada ketenangan badan apabila badan relaks dan dalam keadaan selesa.

Kredit foto: bostonglobe-prod.cdn.arcpublishing.com

Cara untuk tidur dalam masa 120 saat

Jika kaedah sebelum ini tidak berhasil, korang perlu buang beberapa halangan dalam minda.

4. Ingatkan diri sendiri untuk kekal berjaga

Teknik ini juga dipanggil paradoxical intention, di mana apabila kita cuba untuk tidak tidur akan membantu kita rasa mengantuk. Kajian mendapati mereka yang mengamalkan kaedah ini tidur lebih pantas berbanding mereka yang tidak mengamalkannya. Jika korang sering mengalami kesukaran untuk tidur, kaedah ini mungkin lebih berkesan berbanding kaedah pernafasan tradisional.

5. Bayangkan suasana tenang dan damai

Gunakan imaginasi korang untuk membayangkan satu keadaan yang mendamaikan jiwa. Sebagai contoh, korang boleh membayangkan air terjun, bunyi air mengalir, dan bau lumut hijau. Kuncinya adalah untuk membiarkan bayangan tersebut memenuhi ruang minda bagi mengelakkan korang kembali memikirkan stres dan tekanan sebelum tidur.

Kredit photo: images-prod.healthline.com

Jika tidak berkesan juga, ada beberapa kaedah lain yang korang boleh cuba dan antaranya adalah seperti berikut:

• Sorokkan jam
• Mandi dengan air hangat sebelum tidur
• Memakai stokin
• Melakukan yoga
• Meletakkan telefon bimbit jauh dari korang (yang ni memang perlu. Hiks!)
• Aromaterapi seperti lavender, chamomile
• Makan lebih awal bagi mengelakkan perut kembung sebelum tidur

Hm, rasanya teknik nombor 5 tu memang penulis selalu gunakan. Serius berkesan. Hiks! Kalau tak percaya apa kata korang cuba malam ni okay?

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman