Hari kelahiran bintang Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) tiba jua pada tarikh 22 Mac, hari ini.
Untuk kali pertamanya, BCL terbuka hati untuk menyampaikan status di paparan media sosial.
Catitnya menerusi Instagram Story, BCL menyifatkan pemergian Allahyarham Ashraf Sinclair sebagai berita yang masih sukar untuk dipercayai oleh walaupun sudah sebulan berlalu.
Sepanjang tempoh tersebut, BCL ada menjayakan persembahan dan rakaman televisyen atas tuntutan kerjaya. Namun dia tidak sesekali memuat naik sebarang status, posting mahupun memberi temuramah eksklusif kepada rakan media kerana masih dalam tempoh bersedih.
“Aku mahu bilang terima kasih untuk semua ucapan dan cinta yang diberikan untuk aku.
“Aku bertuah dikelilingi oleh ahli keluarga, rakan-rakan, peminat dan semua orang yang mencintai aku dan memberikan sokongan.
“Ini bukan perjalanan mudah, tapi sedikit demi sedikit aku berusaha bangkit dan berjalan,” kata ibu kepada Noah Sinclair itu.
BCL turut berharap agar ramai yang tetap mengirimkan doa buat arwah suaminya dan doa kepada kita semua yang sedang berada dalam situasi pandemik akibat penularan wabak Covid-19.
Betapa kuatnya semangat dan jati diri seorang wanita dan ibu bernama Bunga Citra Lestari. Semoga segala urusan BCL dipermudahkan.