
Baru-baru ini, pelakon terkenal, Nora Danish meluahkan rasa syukur apabila berjaya khatam Al-Quran dalam tempoh 10 hari dan menyifatkan hal tersebut sebagai hadiah istimewa buat ulang tahun kelahirannya buat kali ke-43 yang disambut pada 7 Mac lalu.
Memetik laporan sebuah akhbar tempatan, Nora Danish atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif merasa bersyukur ke hadrat ilahi dengan rezeki itu selepas menyertai tadarus Al-Quran secara berkumpulan bersama 30 sahabatnya yang lain.
“Ini adalah kali pertama saya menyertai tadarus, yang mana kami berjaya khatam dalam tempoh 10 hari”

“Setiap hari, kami membaca lebih daripada 50 muka surat Al-Quran. Saya kira ini adalah pencapaian yang sangat berharga dalam hidup saya sekaligus menjadi hadiah ulang tahun kelahiran saya tahun ini,” katanya.
“Kami memulakan bacaan pada hari pertama Ramadan bersama seorang ustaz hafiz dan kira-kira 30 orang sahabat lain. Ia benar-benar satu pengalaman yang luar biasa buat saya,” jelasnya.
Menurut pelakon Polis Evo 3 itu, walaupun kini sudah memasuki 40-an, usia bukanlah penghalang dan masih belum terlambat buat dirinya untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.
“Walaupun usia sudah menjengah 40-an, namun belum terlambat untuk kita memaksa diri melakukan kebaikan, termasuk membaca Al-Quran”

“Dalam kes saya, saya bersyukur kerana Allah membuka pintu hati saya sebelum saya meninggalkan dunia ini. Betul, memang belum terlambat untuk kita berusaha menjadi insan yang lebih baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga mengaku bahawa sebelum ini mungkin agak jahil tetapi kini Nora berusaha untuk menjadi lebih baik kerana percaya Allah Maha Mendengar dan Maha Baik.
“Jangan sesekali rasa sudah terlambat atau berputus asa. Seeloknya kita segera bertaubat kerana pengakhiran kita itu yang lebih penting,” katanya.
Sekadar info, sebelum ini Nora Danish juga dilaporkan telah mendermakan semua baju-baju seksi miliknya kepada rakan-rakan bukan Islam selepas memilih untuk berhijrah dan tampil berhijab.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.