Masih Guna Gincu Yang Dibeli 5 Tahun Lepas? Wajib Tahu Tentang Tarikh Luput Produk Kecantikan & Penjagaan Kulit!

Share

Bila berbicara mengenai produk kecantikan dan penjagaan kulit, pasti ramai yang tidak jelas tentang kewujudan tarikh luput sesuatu produk itu. Berbeza dengan makanan di mana anda boleh lihat dengan jelas sekiranya ada sebarang kulat, boleh bau makanan yang masam dan rasanya yang sudah tidak enak lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Senarai Produk Mekap Wajib Beli Jika Nak Selfie Sakan Pagi Raya!

Hal ini amatlah berbeza dengan produk kecantikan dan penjagaan kulit kerana setiap produk tersebut mempunyai tarikh luput dan tempoh masa yang disyorkan yang sesuai untuk pembungkusannya. Namun ianya sering dipandang enteng oleh kebanyakan kaum Hawa.

“Alahhh, saya dah pakai blusher ni 10 tahun, elok je”

“Jimat duit akak pakai lipstick ni, 5 tahun tak habis-habis tauuu”

Iyalah kan dengan inflasi harga barang sekarang, semestinya kita mahukan gunakan barang mekap kita sehingga ke titisan terakhir. Lagi-lagi kalau produk itu sudah tiada lagi dalam pasaran.

Namun anda perlu peka dengan bahaya yang menanti sekiranya masih berkeras mahu menggunakan produk yang sudah melebihi tamat tempoh ini.

Bagaimana Anda Tahu Jika Sesuatu Produk Telah Tamat Tempoh?

Biasanya terdapat nombor pada label produk penjagaan kulit anda yang tertulis angka seperti 6, 12, 24 atau 36. Ini merujuk kepada bilangan bulan produk anda dapat bertahan selepas ia dibuka.

Tetapi jika warna produk anda berubah atau mula mengandungi bau yang pelik, buang sahaja, walaupun belum melepasi tarikh luput. Suhu, kelembapan dan cahaya boleh mempengaruhi sesuatu produk itu untuk lebih cepat luput.

Apakah Bahaya Yang Menanti Sekiranya Menggunakan Produk Penjagaan Kulit Dan Solek Yang Telah Tamat Tempoh?

Dengan menggunakan produk yang telah tamat tempoh, anda mendedahkan diri sendiri kepada risiko jangkitan kuman, keradangan dan masalah jerawat.

Sia-sia sahaja habiskan beratus-ratus ringgit beli produk penjagaan kulit dan pergi ke spa kecantikan sekiranya punca utama jerawat muncul diabaikan begitu sahaja.

Ini Ialah Anggaran Jangka Hayat Produk Kegemaran Anda:

Maskara: 3 bulan

Bedak asas: 6 bulan hingga 2 tahun

Gincu: 1 hingga 2 tahun

Celak pensel: 1 tahun (kerana anda boleh mengasahnya dan membuang bakteria)

Celak krim atau gel: 2 hingga 3 bulan

Pembayang mata: 1 hingga 2 tahun

Pemerah pipi: 1 hingga 2 tahun

Pelembap: 6 bulan hingga 1 tahun

Krim mata: 6 bulan hingga 1 tahun

Serum Vitamin C: 3 hingga 6 bulan

BACA LAGI: “Bersyukur Sangat..” 6 Tahun Cedok Pengalaman Sebagai Model Hijabi, Qasrina Karim Capai Tuah Pada 2023 – REMAJA

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

IHSAN FOTO: Pexels

Published by
Adriana Syaurah