Bagi remaja yang pernah didiagnosis dengan atopic dermatitis ataupun eczema, pastinya dia memahami betapa sukarnya untuk berdepan rasa gatal pada kulit yang tidak berkesudahan.
Ditambah pula dengan rasa malu terhadap kondisi kulit yang tidak sempurna seperti yang diharapkan, ramai penghidap eczema yang memilih untuk menjauhkan diri daripada rakan-rakan atau mengelak untuk keluar dari rumah kerana enggan menjadi punca merebaknya penyakit ini.
Haa, pemikiran ini sebenarnya salah gaiss..
Eczema bukanlah sejenis penyakit berjangkit, sebaliknya ia adalah keadaan kulit yang boleh dikawal dengan rawatan yang betul.
Dalam perkongsian oleh pakar dermatologi Sunway Medical Center, Dr Felix Yap Boon Bin bersama REMAJA, beliau menjelaskan bahawa eczema bukanlah satu-satunya penyakit atopic dermatitis. Antara penyakit ‘normal’ yang jatuh dalam kategori sama termasuklah resdung dan asma.
Katanya lagi, eczema juga bukan sekadar penyakit kulit dengan simptom ruam biasa, sebaliknya ia adalah sejenis alergi yang boleh memberi kesan sampingan pada fizikal dan juga mental pesakit sekiranya mereka tidak mendapatkan nasihat rawatan yang betul.
Untuk pengetahuan, eczema boleh menjadi lebih teruk sekiranya pesakit terdedah kepada alahan makanan, habuk, atau produk penjagaan kulit tertentu.
Masalahnya, kebanyakan remaja sekarang tidak tahu-menahu mengenai makanan yang diambil dan produk yang digunakan mereka sehinggalah ia menjadi punca ‘trigger’ terhadap simptom eczema yang rupa-rupanya telahpun mereka hidapi dalam diam.
Tidak kurang juga remaja yang menganggap eczema sekadar menyerang kanak-kanak dan bukannya golongan dewasa. Sekali lagi, pendapat ini adalah mitos kerana eczema mempunyai beberapa faktor yang boleh menyumbang seperti sejarah keluarga, perubahan hormon, gaya hidup dan persekitaran.
Tanpa mengambil serius mengenai simptom atau punca yang ada ini, kehidupan mereka akan terkesan dengan penyakit ini, sebagai contoh:
Tidur Tak Lena, Hidup Terjejas: Eczema selalunya menjadi lebih teruk pada waktu malam dan menyebabkan pesakit sukar untuk tidur lena. Akhirnya, mereka akan mengalami keletihan dan kesukaran untuk memberi tumpuan pada keesokan hari. Turut terganggu adalah emosi pesakit apabila tidak mendapat rehat mencukupi.
Kurang Keyakinan Diri: Ruam atau luka eczema biasanya jelas kelihatan pada muka, tangan dan beberapa bahagian tubuh badan sehingga pesakit malu untuk berhadapan dengan orang lain.
Lebih mengejutkan, masih ada masyarakat yang menganggap eczema adalah penyakit berjangkit padahal tidak. Disebabkan persepsi ini, pesakit ekzema merasa rendah diri dan kurang yakin untuk bergaul dengan orang sekeliling.
Keluarga Rasa Tertekan: Jelas Dr.Felix kepada REMAJA, keluarga pesakit eczema juga berpotensi mengalami tekanan. Contohnya apabila anak kerap yang mengalami kes serius kerap terjaga pada waktu malam disebabkan kegatalan tidak terkawal. Situasi sebegini turut akan memberi kesan kepada ahli rumah yang lain.
Jika kulit mula terasa gatal melampau atau nampak kering dan bersisik, jangan teragak-agak untuk mendapatkan nasihat pakar dan seterusnya rawatan lanjut.
Eczema terdiri daripada banyak jenis, oleh itu amat penting untuk pesakit mendapatkan diagnosis yang betul dan jangan mudah menyapu sebarangan ubat pada kulit tanpa nasihat doktor. Takut lebih melarat jadinya nanti.
Antara ‘senjata’ utama untuk korang mengurangkan eczema adalah dengan dengan menukar rutin membersihkan diri. Rajin-rajinkanlah diri menggunakan krim pelembap dengan konsisten. Pastikan juga korang menggunakan sabun yang mengandungi pH 5.5 semasa mandi.
Walaupun eczema boleh membataskan pergerakan dan menyebabkan ketidak selesaan, itu tidak bermaksud pesakit tidak boleh melakukan aktiviti kegemaran mereka.
Korang hanya perlu berhati-hati dengan peluh melampau yang membuatkan kulit semakin gatal. Seeloknya, elakkan aktiviti berat pada waktu panas terik.
Bagi yang sukakan aktiviti air terutama di kolam renang pula, korang harus ingat bahawa kandungan klorin dalam air tersebut boleh menyebabkan kulit menjadi lebih kering. Bukan bermaksud korang tidak lagi boleh berenang tetapi hadkan masa dan jangan lupa sapu pelembap lepas mandi.
Selain cara-cara ini, Dr. Felix kongsikan beberapa lagi rawatan yang boleh membantu pesakit eczema seperti:
Ingat gaiss, eczema bukan sekadar masalah kulit tetapi juga boleh beri kesan besar kepada keyakinan diri. Oleh sebab itu, sokongan daripada keluarga, rakan, guru, dan masyarakat sangat penting supaya pesakit tak rasa terpinggir.
Berikan kata-kata semangat dan fahamilah cabaran yang dihadapi oleh pesakit eczema. Jangan pula korang jauhkan diri daripada mereka sehingga membuatkan mereka merasa malu.
Jadilah masyarakat yang lebih peka dan hentikan stigma terhadap penghidap. Melalui sokongan yang betul, pesakit boleh menjalani kehidupan dengan lebih yakin dan positif.
Anda juga boleh layari laman web ‘Living With Eczema’ untuk maklumat lanjut.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.