Masjid Bentuk Kiub Guna Batu Blok Angin Tarik Perhatian. Berkonsep ‘Tropical Brutalism’

Share

Masjid atau rumah Allah adalah tempat beribadat umat Islam yang lebih dari sekadar kubah serta mimbarnya. Ia dibina sebagai tempat muslimin dan muslimat untuk beribadat, menyebarkan syiar islam, belajar dan mengeratkan komuniti.

ARTIKEL BERKAITAN : Ibarat Berada Dalam Taman Syurga, ‘Masjid Tsunami’ Banda Aceh Kini Jauh Berbeza

Tapi jika korang gemarkan seni bina, pasti teruja melihat seni bina sebuah masjid jika melalui Jalan Sungai Penchala di Segambut, Kuala Lumpur.

Foto Via Bernama

Manakan tidak, siapa sangka bangunan konkrit berwarna putih kelabu yang dipenuhi dengan landskap tumbuhan hijau seakan sebuah pejabat ini merupakan tempat beribadat buat orang Islam.

Untuk pengetahuan, surau ini dinamakan “Musalla Al Abrar” dengan struktur binaannya berbentuk kiub dan keseluruhan dinding menggunakan batu blok angin.

Foto Via Bernama

Foto Via Bernama

Hafiz Ismail, 48 tahun iaitu arkitek yang dipertanggungjawabkan membuat pelan surau itu berkata Musalla Al Abrar diinspirasikan daripada struktur bangunan suci, Kaabah yang terletak di Masjidil Haram di Makkah.

“Saya mengambil ilham daripada struktur Kaabah berbentuk kiub, bagaimana struktur sederhana Kaabah itu, jutaan umat Islam dari seluruh dunia setiap tahun pergi. Jadi mengapa tidak kita fikir (pelan) bentuk Kaabah yang kiub sahaja yang boleh menarik ramai orang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Musalla Al Abrar yang menelan kos RM3 juta itu mempunyai dua aras ruang solat yang boleh memuatkan sehingga 1,500 jemaah pada satu-satu masa dan turut menempatkan ruang pejabat, tempat wuduk, tandas dan dapur.

Surau bertaraf masjid tersebut di bawah pentadbiran Yayasan Tawfiq siap dibina pada 2016 dan sehingga kini ia menjadi tumpuan umat Islam bukan sahaja dari kawasan berdekatan, malah juga dari luar Lembah Klang untuk mengikuti majlis ilmu yang diadakan di kawasan berkenaan.

Bercerita lanjut, lulusan ijazah seni bina dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata dari segi disiplin seni bina, ‘tropical brutalism’ diterapkan pada reka bentuk bangunan surau berkenaan yang mempunyai kelebihan dan setiap daripadanya mempunyai fungsi tertentu.

Menurutnya, perkataan ‘brutalism’ itu merujuk kepada penggunaan material dinding dan tiang surau yang 100 peratus berasaskan binaan konkrit yang dilepa simen tanpa semburan cat dan hanya bahagian lantai dicat.

Sementara perkataan ‘tropical’ pula diterapkan melalui aspek landskap tumbuhan yang banyak meliputi sebahagian surau itu bagi mewujudkan persekitaran hijau yang mendamaikan.

Hafiz berkata penggunaan batu blok angin pada keseluruhan dinding surau tersebut pula bertujuan mewujudkan lubang pengudaraan semula jadi sekali gus jemaah yang berada di dalamnya lebih selesa dan tenang walaupun dalam jumlah ramai.

Teringin pula penulis menjejakkan kaki di Musalla Al Abrar ni…Kalau korang nak merasai angin semulajadi ketika beribadat, bolehlah singgah Musalla Al Abrar ni okay. Tengok gambar pun dah cantik, bila depan-depan mesti rasa lagi seronok!

BACA LAGI : Selepas 88 Tahun, Masjid Besar Hagia Sophia Turki Bakal Adakan Solat Terawih Pertama

***

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana