Isnin lalu, Masjid Al-Khairiyah di Taman Sri Gombak telah melaungkan azan Maghrib tiga minit sebelum waktu sebenar dan pihak pengurusan masjid tersebut telah pun membuat permohonan maaf. Kesilapan itu berlaku berpunca daripada masalah teknikal pada paparan digital waktu azan di masjid terbabit.
Walau bagaimanapun, Mufti Selangor Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid mengesahkan bahawa jika individu yang berbuka mengikut laungan azan itu, puasanya batal dan perlu diganti. Namun, penggantian puasa tidak tertakluk kepada mereka yang berbuka di hujung atau selepas azan kerana ia dikira sudah masuk waktu berdasarkan waktu zon tempatan.
Jelasnya lagi, waktu solat adalah mengikut zon di negeri-negeri dan bagi kes berkenaan, puasa mereka yang berbuka berpandukan azan pada 7.18 malam itu adalah terbatal dan wajib diganti.
Namun begitu, tindakan nazir masjid berkenaan dipuji oleh Mufti Selangor kerana berani berterus terang untuk mengakui kesilapan itu. Katanya, semua orang melakukan kesilapan dan mereka yang berkenaan perlu memaafkan pihak yang tidak sengaja mengalunkan azan lebih awal.
Betul tu, sekiranya korang antara individu yang terbabit, tidak perlulah berasa kesal dan marah kerana perlu menggantikan semula puasa itu. Anggaplah ia sebagai satu ujian di bulan Ramadan.
Sumber: Harian Metro