Pernah dinobatkan sebagai masjid ketiga tercantik di dunia, Masjid Kristal sebelum ini di ‘tinggalkan’ selama 4 tahun ekoran proses baik pulih beberapa masalah bangunannya selepas tertangguh akibat pandemik.
Namun, nampak gayanya masjid yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu ini kembali bersinar selepas empat tahun tidak beroperasi. Malah, Masjid Kristal yang menjadi antara tarikan utama ke Taman Tamadun Islam (TTI) di sini kini dibuka kepada orang ramai untuk aktiviti ibadah dan pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata kerja-kerja pembaikan Masjid Kristal yang bermula pada 2018 telah pun siap dengan perbelanjaan sebanyak RM700,000.
Antara proses baik pulih dilakukan meliputi penggantian kubah yang pecah, penggantian silikon dan ‘water proofing’ pada atap rata masjid.
Bagaimanapun kata beliau, masih terdapat beberapa kerja pembaikan kecil yang lain seperti aspek pencahayaan yang akan dilaksanakan sehingga hujung tahun ini bagi menarik kunjungan lebih ramai pelancong.
“Selepas sekian lama, Masjid Kristal akhirnya sudah boleh beroperasi dengan selamat terutama untuk aktiviti ibadah pada bulan Ramadan yang tinggal hanya beberapa hari lagi.
“Kita akan melaksanakan solat tarawih berjemaah setiap malam sepanjang Ramadan bersama imam jemputan, aktiviti tadarus dan tadabur al-Quran setiap Ahad hingga Rabu jam 12 tengah hari dan kuliah Zohor setiap Khamis pada jam 12 tengah hari.”
“Kita juga akan menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan dengan mengadakan qiamullail dan bersahur. Jadi, semua dialu-alukan untuk merasai kembali kehebatan Masjid Kristal,” katanya.
Untuk pengetahuan korang, Masjid Kristal ini mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu-satu masa. Malah, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Terengannu mengalu-alukan kedatangan pengunjung untuk menyemarakkan sambutan Ramadan di Masjid Kristal kerana banyak program dan aktiviti disediakan.
Orang Terengganu apa lagi, jom la pengimarahan masjid ini.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: Bernama