Masjid Pertama Di Mercu Tanda Ikonik Negara Jepun, Masjid FujiKawaguchiko Khas Buat Pelancong Muslim

Share

Alhamdulillah, ini berita mengembirakan buat semua pelancong muslim ke Jepun.

Jepun ada banyak tempat menarik dan salah satunya adalah Gunung Fuji. Gunung Fuji atau Mount Fuji merupakan mercu tanda ikonik di negara Jepun. Pastinya pengalaman ke Jepun korang tidak akan lengkap jika tidak melihat Gunung Fuji ini dengan mata sendiri.

Namun, sekitar tahun 1990-an sehingga ke pertengahan 2010, khabarnya memang sukar untuk pelancong Malaysia mencari tempat makan halal di negara Jepun, apatah lagi tempat beribadat.

Namun begitu, masalah ini nampak sudah selesai kerana berkat usaha pelbagai pihak seperti persatuan penduduk Muslim, serta pihak masjid di Jepun, keperluan restoran Halal telah mendapat perhatian oleh kerajaan dan masyarakat Jepun sendiri.


Kini, korang boleh mencari restoran halal hampir di semua lokasi utama di Jepun. Dan terbaru, jika korang ingin mengunjungi dan Travel ke Jepun selepas pintu negara dibuka, korang sudah tidak perlu risau untuk menunaikan solat kerana di sana baru-baru ini telah dibuka sebuah masjid yang pertama khas buat pelancong Muslim.

Masjid FujiKawaguchiko telah dibuka secara rasmi pada 8 November lalu dan ia dibina di bangunan yang asalnya merupakan sebuah tempat penginapan yang diberi nama Capsule Inn Fujisan serta berhampiran dengan Tasik Kawaguchi.


Walaupun tidak banyak maklumat mengenai masjid tersebut, namun nampaknya tempat ibadah itu dibina dengan ruang yang cukup luas untuk menampung puluhan umat Islam.

Malah, masjid ini juga katanya mempunyai kawasan khas untuk pengunjung menjamu selera serta mempunyai beberapa kafe yang halal untuk mereka bersantai sambil makan dan minum.


Masjid FujiKawaguchiko ini terletak hanya beberapa minit dengan berjalan kaki dari Tasik Kawaguchi yang indah dan berhampiran jambatan yang melintasi tasik.

Ini bererti bahawa setelah menunaikan solat, anda dapat berjalan kaki ke tasik untuk melihat sendiri pemandangan Gunung Fuji yang megah dan indah.


.

Bagi yang belum berpengalaman ke destinasi pelancongan popular Jepun itu, Tasik Kawaguchi merupakan salah satu tasik yang terkenal di sekitar Gunung Fuji di mana korang boleh menyaksikan panorama gunung tersebut dari sudut yang berbeza.


.

Malah di bahagian utara tasik juga mempunyai pemandangan Gunung Fuji yang terbaik dan ia merupakan lokasi yang paling cantik ketika berlakunya musim luruh atau bunga sakura.

Selain itu, terdapat banyak kemudahan seperti perkhidmatan sewa basikal, kedai serbaneka, hotel dan resort untuk keselesaan percutian buat pelancong.

Hmm…tak sabar penulis nak tunggu pintu ”negara dibuka”. Tapi sementara ini mungkin kita boleh menabung duit dulu kan…Sabar okay nanti dah semuanya reda mungkin kita boleh travel macam dulu lagi.

Published by
Ruziana Zainal