Apakah alasan kita untuk mengkritik uniform yang disarungkan oleh delegasi Malaysia ke temasya sukan terbesar dunia ini?
Demam Sukan Paralimpik sudahpun bermula pada hari pertama kejohanan sejak ia membuka tirai semalam menerusi upacara pembukaan yang berlangsung penuh gilang-gemilang.
Seperti di Sukan Olimpik lalu, Jepun sebagai tuan rumah nyata tidak mengecewakan dalam mempersembahkan sesuatu yang unik dan istimewa biarpun skala penganjuran acara tersebut dikecilkan dek pandemik yang masih melanda dunia.
Dan seperti kebiasaan, kemunculan delegasi Malaysia ke dalam Stadium Olimpik dinanti-nantikan oleh kita semua. Sekali lagi, Jalur Gemilang kembali berkibar di dalam stadium tersebut dan kali ini, ia dibawa oleh duo atlet paralimpik berkaliber.
Mereka ialah atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dan atlet para olahraga, Siti Nooriasah Mohamad Ariffin. Pemilihan duo ini adalah demi melambangkan kepelbagaian dan kesepakatan kaum di Malaysia.
Sekali lagi, kemunculan Malaysia diperkatakan orang ramai disebabkan percikan warna terang pada uniform yang diilhamkan daripada Laksamana Hang Tuah itu.
Cumanya pada kali ini, reaksi orang ramai bernada lebih positif berbanding semasa Sukan Olimpik lalu. Dan percaya atau tidak, pujian hadir daripada penonton antarabangsa!
Akaun twitter rasmi milik Tokyo 2020 dan Paralympics tampil memuji persalinan delegasi Malaysia yang terdiri daripada baju Melayu dengan kot khas dan baju kurung berselendang. Bahagian sampin dan kain sarongnya pula bermotifkan songket bunga tabur dengan motif tampuk manggis – sedikit berlainan dengan delegasi Sukan Olimpik yang bermain dengan motif geometri berwarna Jalur gemilang.
Bangganya apabila masyarakat antarabangsa pun tahu menghargai ‘effort’ yang kita tunjukkan dan kekayaan budaya yang ‘diterbangkan’ ke bumi Tokyo.
Untuk Sukan Paralimpik yang akan berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September ini, Malaysia mempertaruhkan 22 orang atlet yang akan bertanding dalam sembilan jenis sukan.
ARTIKEL BERKAITAN : Mampukah Malaysia? Penduduk Tokyo Tawar Diri Kutip Sampah Keliling Stadium – REMAJA