Tahniah Mawar Rashid dan Raf Yaakob!
Pelakon dan usahawan, Mawar Rashid menzahirkan kesyukuran proses melahirkan cahaya mata ketiganya dipermudahkan selepas dia selamat menimang bayi perempuan secara normal, hari ini.
Menerusi perkongsian di entri Instagram, bekas peserta program Dewi Remaja itu memuat naik foto cahaya mata perempuannya yang didukung suami tercinta, Raf Yaakob.
ARTIKEL BERKAITAN: Mia Ahmad, Mohd Izham Tarmizi Selamat Timang Cahaya Mata Ketiga
Mawar dan Raf bagaimanapun belum berkongsi wajah cahaya mata mereka dan menutup muka bayi itu dengan emoji.
“Syukur alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Saya bersalin secara normal, macam dua orang anak saya, Rafael dan Cinta. Terima kasih semua atas doa-doanya,” tulisnya ringkas.
Selain itu juga, pelakon drama Kalis Kasih itu turut mengumumkan nama bayi ketiganya iaitu Raden Seri Riyanna Sayang.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan artis tidak terlepas peluang meniupkan doa yang baik-baik buat bayi mereka.
Sekadar informasi, Mawar dan Raf mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Raden Muhammad Rafael dan Raden Seri Rossabella Cinta.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Mawar Rashid