Satu lagi berita sedih yang diterima apabila MBO Cinemas, sebuah syarikat pawagam ketiga terbesar di Malaysia dilaporkan bakal menutup operasinya susulan kemerosotan kewangan.
Menurut laporan The Edge, proses pembubaran syarikat tersebut mungkin merangkumi penjualan asset syarikat bagi membayar kembali kadar hutang yang dimilikinya.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MBO Cinemas Cheah Chun Wai mengatakan bahawa industri telah mengalami penurunan penjualan sebanyak 55% selama tiga bulan pertama pandemik COVID-19 dan tidak ada sebarang penjualan bagi tiga bulan berikutnya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
MBO Cinemas juga turut mengeluarkan kenyataan di laman media sosial mereka dengan menyatakan 17 daripada 27 lokasi pawagam mereka ditutup di seluruh negara sehingga pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Jika memang benar MBO Cinemas bakal menutup operasi pawagam mereka, sudah tentu ramai yang sedih mendengar berita ini kerana kami pasti MBO adalah antara pawagam yang sering dikunjungi oleh masyarakat Malaysia.
Sama-sama kita doakan agar wabak pandemik ini beransur pulih dan ekonomi negara dapat ditingkatkan kembali.
Sumber: NST