Siri animasi dari Malaysia, Mechamato ditayangkan di saluran TV9 ini telah membuatkan peminat siri animasi di Jepun jatuh cinta dengan jalan cerita dan kualiti yang dipersembahkan produksi Mechamato.
Selain dialih bahasa kepada bahasa Jepun, ia juga boleh ditonton di Netflix dengan lima lagi bahasa berbeza iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Korea, Mandarin dan Thai. Turut disediakan adalah tujuh jenis sari kata termasuklah Tagalog dan bahasa Indonesia.
Terbaru, Mechamato telahpun dicalonkan di Tokyo Anime Award Festival (TAAF) 2023 dan berjaya meloloskan diri ke pusingan akhir yang menghiimpunkan 100 siri animasi terbaik. Bagi penentuan siapakah juara kategori ini, ia akan ditentukan oleh undian penyokong serta peminat anime.
Setakat 7 Januari 2023, Mechamato dilihat berada di tangga kelapan.
Ads
Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MONSTA yang juga merupakan pengarah serta penulis filem animasi Mechamato, Nizam Abul Razak menerusi akaun Twitter @nizamabdrazak memaklumkan mengenai kejayaan tersebut dan menyeru agar rakyat di Malaysia membantu mengundi Mechamato terus kekal dalam kedudukan Top 10.
Selang sehari selepas itu, siapa sangka Mechamato mampu memecut laju untuk berada di kedudukan nombor satu!
MECHAMATO KE PUSINGAN AKHIR Tokyo Anime Award Festival. CARA VOTE (Setiap Hari):
1. LOG IN https://t.co/FLDBldXZMh
2. CARI “MECHA-AMATO” atau “メカアマト”
3. TEKAN BUTANG VOTE
4. AUTHORIZE TWITTER
5. REPEAT SETIAP HARI
6. SHARE DAN BERITAHU KAWAN
Ayuh #AniMY#AnimaSEA#MONSTArmypic.twitter.com/GxmIRU50PX
Catatnya dalam ciapan pada 8 Januari, “Wow terima kasih! Mechamato dari #8 terus #1 di TAAF2023. Voting masih berlangsung sehingga Februari. Jom vote sehari sekali bagi mengekalkan Mechamato di tempat #1. Mari cipta sejarah AniMY menang #1 di Tokyo Anime Award Festival.”
Beliau turut berkongsi tutorial untuk mengundi bagi Mechamato di laman sesawang vote.animefestival.jp.
Seseorang boleh mengundi sekali pada setiap hari sehinggalah tarikh tutupnya pada Februari ini. Oleh itu bertindaklah dengan mengundi agar siri animasi Mechamato dapat mencipta satu lagi sejarah di peringkat antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Baru berusia 24 tahun dan hanya berbekalkan segulung Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak jati kelahiran Johor Darul Ta’zim ini berjaya membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila kini dapat bertugas dalam bidang yang diimpikan selama ini.
Pemilik nama Muhammad Farid Farok yang dahulunya bekerja sebagai kelindan lori, tidak menyangka kehidupannya berubah 360 darjah selepas mengikuti kursus Cabin Crew, Customer Service & Basic Ground Handling selama tiga bulan dari Kolej dan Pusat Latihan Teknikal Meatech yang terletak di Mantin, Negeri Sembilan.
Tekad untuk masa depan yang lebih cerah, jejaka yang lebih disapa Farid ini beralih bidang dan kini bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di bawah Malaysia Airlines.
“Selepas habis SPM saya terus bekerja sebagai kelindan lori, waktu itu fikir hanya untuk mencari duit. Tetapi kesan jangka panjang bekerja sebagai kelindan lori adalah masalah kesihatan kerana perlu mengangkat barang berat selain terlalu banyak duduk di dalam lori.
“Jadi, apabila terlihat peluang untuk belajar selama tiga bulan, saya cuba walaupun ketika itu langsung tidak tahu tentang dunia penerbangan.
“Alhamdulillah, saya belajar pada 2018 dan pada 2019 saya telah bekerja bersama Malaysia Airlines sebagai Ground Staff. Saya masih menimba ilmu kerana pada masa yang sama saya juga mencuba untuk menjadi seorang pramugara,” tutur Farid kepada Remaja.
Tambahnya lagi, meskipun langsung tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam bidang penerbangan, namun pengambilan sijil di Kolej Meatech itu sangat membantu mempersiap dirinya untuk bekerja dalam bidang tersebut.
“Saya suka bekerja dalam bidang penerbangan kerana selain suka melancong, minda saya semakin terbuka apabila berjumpa pelbagai ragam pelanggan dari seluruh dunia,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, seorang lagi alumni Kolej Meatech, Ainun Darayani Omar atau Dara yang sebelum ini merupakan seorang pemandu pelancong dan juga pembantu klinik veterinar tidak menyangka percubaannya untuk terjun ke dunia penerbangan membuahkan hasil.
Sebaik sahaja menamatkan kursus selama tiga bulan, gadis berusia 28 tahun ini terus ditawarkan pekerjaan sebagai pramugari dan kini telah tujuh bulan terbang di awan biru.
“Sebelum ini saya bekerja di bidang pelancongan, tetapi kerana pandemik Covid-19 saya kehilangan kerja. Selepas itu, saya bekerja sebagai pembantu klinik veterinar. Walaupun pekerjaannya stabil tetapi saya kurang minat.
“Oleh itu, saya cuba mengambil kursus tiga bulan dan tidak sangka terus dapat kerja selepas itu. Sejak bekerja sebagai pramugari banyak perubahan positif pada diri saya terutamanya daripada aspek disiplin dan juga kemahiran komunikasi,” ujar Dara.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Batik Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, perkembangan agresif industri penerbangan pada masa kini telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Terutama selepas pandemik Covid-19, ramai pekerja mahir dalam bidang penerbangan memilih untuk tidak kembali bekerja kerana telah memiliki pekerjaan lain atau perniagaan sendiri.
Selain itu, Batik Air sendiri telah membuktikan perkembangan positif industri penerbangan kerana akan menambah 47 sehingga 50 pesawat pada tahun depan daripada 35 pesawat sedia ada.
“Ini baru Batik Air sahaja, belum syarikat penerbangan lain yang turut menambah pesawat masing-masing. Maksudnya lebih banyak perjalanan dibuka dan lebih ramai pekerja diperlukan.
“Jadi, dengan adanya kolej seperti Meatech ini memang sangat membantu kerana memudahkan syarikat penerbangan untuk mendapatkan pekerja yang berkemahiran,” kata Kapten Mushafiz yang ditemui pada Majlis Aviation Experience Day anjuran YEG Academy dengan kerjasama Kolej Meatech di Sama-Sama Hotel, Sepang, Selangor baru-baru ini.
Sekadar informasi, pada majlis Aviation Experience Day itu, sekitar 1,000 bakal pelajar telah menghadiri program tersebut yang turut memuatkan sesi perkongsian pengalaman bersama felo Kolej Maetech iaitu Zarul Umbrella dan juga pekerja-pekerja industri penerbangan.
Selain itu, Kolej dan Pusat Latihan Teknikal Meatech turut menawarkan program diploma untuk pelajar lepasan SPM seperti Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat, Diploma Pengurusan Operasi Penerbangan, Diploma Pengurusan Penerbangan Kargo, Pra Diploma Operasi Penyelenggaraan Pesawat dan Sijil Kemahiran Operasi Penyelenggaraan Pesawat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
ISTILAH “Mat rempit” mula diperkenalkan oleh wartawan Wan Kamarulzaman (Wan K) melalui Edisi Siasat yang merupakan gelaran kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan motosikal kapcai atau skuter.
Istilah ini asalnya diperkenalkan oleh Kartunis Halim Hassan melalui majalah motosikal Malaysia, iaitu Roda Roda yang diterbitkan pada tahun 1998. Mat rempit juga diberi gelaran rasmi sebagai samseng jalanan oleh kerajaan Malaysia (en.m.wikipedia.org)
Istilah “Mat rempit” berbunyi seperti sampah masyarakat dan menggambarkan golongan itu sebagai samseng jalanan. Itulah gelaran yang mereka sukai.
Seolah-olah ada prestij.
Kelompok ini tidak suka digelar dengan nama manja dan mempunyai elemen kebaikan kerana bagi mereka gelaran yang baik akan menjejaskan status mereka. Mereka mahu dianggap bijak sedangkan perkara yang dilakukan langsung tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.
Mereka mahu dianggap berani sedangkan bertempiaran menunggang motosikal apabila melihat kelibat pihak berkuasa. Mereka mahu dianggap berstatus tinggi sedangkan poket tidak berisi. Mereka mahu dilihat berhati kering sedangkan begitu berperibadi apabila berseorangan.
Imej penunggang motosikal harus diubah supaya dilihat lebih berdisiplin dan berhemah.
Justeru, istilah “Mat rempit” perlu ditukarkan kepada “Mat bunga raya” agar lebih berjiwa kebangsaan. Biar mereka lebih santun dan memahami budaya Melayu yang kaya dengan adab dan kesopanan.
Inilah yang menggambarkan semangat perpaduan bagi semua peminat motosikal ibarat sebuah keluarga yang harmoni. Biar mereka bersatu hati memajukan ekonomi keluarga dan diri sendiri. Berilah mereka peluang untuk menjana pendapatan dan berubah ke arah kebaikan.
Sebagai “Mat bunga raya”, mereka akan menghormati pengguna jalan raya yang lain dan tidak menggunakan jalan awam sebagai litar lumba. Ibu bapa perlu bersikap lebih tegas dan menjaga tingkah laku anak-anak bagi menangani kes kemalangan motosikal dalam kalangan remaja dan orang muda yang sering menunggang mengikut perasaan. Jangan benarkan mereka menunggang motosikal jika tiada lesen.
Jaga dan hormati “Mat bunga raya” kerana masa depan negara bergantung pada mereka.
Semoga istilah baharu ini akan menjadikan mereka sebahagian daripada rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri dan berbudi pekerti luhur.
*
Penyiaran artikel ini merupakan hasil kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa dan Pustaka. Artikel ditulis oleh Munsyi Dewan (Md Rasul Bin Haron)
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hari-harinya dipenuhi dengan tuntutan kerja yang bersilih ganti tanpa henti. Namun itu tidak menjadi penghalang buat pendatang baharu industri seni, Malle Christian Anderson Barlus untuk terus positif mencari rezeki yang halal.
REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023, Malle Christian.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gayaFZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teksADRIANA SYAURAH jurufotoAKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan & dandanan CHE WAN persalinanSUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Sebaik sahaja pertandingan Dewi Remaja 2022 menutup tirainya, Malle Barlus segera mengatur langkahnya untuk lebih dikenali sebagai seorang anak seni. Menginjak ke usia 25 tahun, dirinya yang sering menghabiskan masa muda dengan menceburi pertandingan ratu cantik suatu ketika dahulu mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan sebelum bergelar ‘Dewi’.
Selaku rakan kongsi kepada sebuah agensi bakat bernama MNB Studio di Kota Kinabalu dan di Kuala Lumpur, Malle mula sedar kepentingan mengasah potensi baru agar industri seni kekal diwarnai dengan individu-individu berbakat serta berkualiti tinggi.
Kini setelah menamatkan pencarian Dewi Remaja 2022, wajah jelita Malle juga tidak lekang menghiasi naskah dan karya tempatan yang bakal menjadi tontonan penonton di layar skrin kelak.
Sewaktu ditemui Remaja baru-baru ini di set penggambaran kempen Saya #RemajaMalaysia, kami berkesempatan mengorek perkembangan terbaru Malle setelah menjadikan Kuala Lumpur sebagai rumah utama.
“Buat masa sekarang, Malle lebih fokuskan kepada tugasan harian selaku pencipta kandungan (content creator) tetapi pada masa yang sama; ada juga berlakon secara sampingan. Sememangnya, saya amat teruja menantikan tayangan drama 1 Million Dollar Voice yang merupakan drama tempatan pertama melibatkan saya sebagai salah seorang wataknya. Saya juga terlibat dalam sebuah telefilem yang bakal dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Paling penting, Malle sekarang tengah fokus untuk memperluaskan lagi agensi saya di Kuala Lumpur. Maklumlah saya merupakan rakan kongsi kepada MNB Studio,” kongsinya.
Tunduk Sebelum Dongak Ke Langit
Rupa paras sememangnya merupakan salah satu rezeki pemberian Ilahi. Dalam konteks kerjaya, Malle bagaimmanapun memilih untuk enggan dikenali hanya disebabkan rupa paras yang dimilikinya sahaja. Bagi Malle, keperibadian dan usaha keras seseorang adalah sesuatu yang lebih utama.
Disebabkan itulah, Malle selalu akan terus tunduk sebelum mendongak ke langit kerana itulah yang dipelajarinya menerusi pengalaman lampau menyertai pertandingan ratu cantik Miss Grand Malaysia 2018, Unduk Ngadau 2021 dan Dewi Remaja 2022.
Melalui pengalaman-pengalaman berharga inilah, banyak ilmu baharu lagi bernilai yang dicedok oleh gadis asal Kudat, Sabah ini termasuklah mengenai kepentingan profesionalisme dan enggan menjadi seperti kacang lupakan kulit.
Melalui Unduk Ngadau, Malle mendekati adat resam sukunya iaitu Suku Rungus dan Dusun dengan lebih teliti. Malah, dia juga menyeru anak muda untuk pulang ke kampung halaman dan menabur bakti kepada masyarakat setempat.
“Sejujurnya banyak ilmu baharu yang saya pelajari menerusi Unduk Ngadau. Meskipun saya membesar di Sabah, saya akui selama ini saya kurang arif tentang adat warisan suku sendiri. Kini, barulah saya ketahui dengan lebih jelas mengapa kami menyambut Pesta Keamatan dan adat resam suku saya sendiri,” jelasnya.
Sumbangan Generasi Z
Sempena sambutan hari kemerdekaan yang kian hampur, kami bertanyakan apakah definisi Saya #RemajaMalaysia kepada diri Malle sendiri.
Sebagai generasi pelapis keamanan Malaysia, baginya setiap individu memikul tanggungjawab masing-masing dalam memastikan negara kita kekal aman, harmoni dan maju.
“Menurut Malle, Saya #RemajaMalaysia bukan sahaja merujuk kepada aspek umur tetapi juga menyentuh kepada aspek lain apa yang mampu disumbangkan oleh generasi muda kita terutamanya generasi Z kepada negara.
“Kita mahukan anak-anak muda yang peka dengan amanah yang diturunkan oleh nenek moyang terdahulu demi memastikan negara kekal aman tanpa sebarang peperangan dan kemunduran,” jelasnya dengan penuh semangat.
“Kenapa saya amat menyintai Malaysia? Jawapannya mudah. Malaysia ialah rumah saya dan tempat kelahiran saya. Usahlah kita menjadi kacang yang melupakan kulitnya dengan melihat kemajuan di negara lain dan terus melupakan apa yang kita sendiri miliki di sini,” luahnya.
Kibar Sayap Lebih Luas
Lambakan anak muda yang memilih kerjaya pempengaruh sebagai kerjaya pada zaman digital ini muncul bak cendawan selepas hujan. Manakan tidak, rata-rata kita semua yang bergelar warganet dan mengisi masa senggang di media sosial sentiasa dimomok dengan gaya hidup glamor yang sering ditonjolkan oleh pempengaruh tempatan serta antarabangsa sehingga ia menjerat pemikiran bahawa kerjaya sebagai pempengaruh adalah jalan mudah untuk memperolehi kehidupan mewah.
Sebaliknya, ramai tidak sedar bahawa kejayaan dalam mana-mana bidang kerjaya tidak akan datang bergolak sekiranya seserang sekadar goyang kaki dan ‘menjual persepsi’ kehidupan di media sosial.
Selaku seorang pempengaruh sendiri, Malle merasakan gaya hidup mewah yang kerap dipamerkan golongan pempengaruh muda Malaysia di media sosial bukanlah suatu perkara yang boleh dipercayai seratus peratus.
Anak muda bagi Malle tetap harus cakna bahawa jaminan masa hadapan yang cerah masih terletak kepada sejauh mana mereka benar-benar dahagakan ilmu hingga ke menara gading dan akhirnya, memperoleh segulung ijazah.
“Saya sedar ada sesetengah lepasan SPM yang terus enggan melanjutkan pelajaran dan menghabiskan masa merakam video klip pendek untuk dimuat naik ke media sosial demi dijadikan punca pendapatan. Situasi ini amat merisaukan kerana untuk mengejar pendapatan sebagai pempengaruh tidaklah semudah itu. Mereka tetap perlu mempelajari strategi di sebalik kejayaan sesebuah akaun dan penjenamaan diri serta kandungan mereka.
“Nasihat Malle untuk remaja yang lebih muda daripada Malle adalah utamakan ipelajaran terlebih dahulu. Banggakan ibu ayah di kampung dengan segulung ijazah di tangan. Setelah menamatkan pengajian dan ingin meneruskan cita-cita sebagai pencipta kandungan, model dan selebriti, teruskanlah. Kesemua itu adalah punca rezeki yang bagus namun ia perlu digenggam dengan ilmu terlebih dahulu.
“Untuk menjadi seseorang yang dikenali ramai bukanlah sesuatu yang mudah. Anda perlu berani dan jangan takut dengan bayang masing-masing. Jadikan kegagalan mahupun rejection itu sebagai pembakar semangat tidak putus semangat dalam membangunkan nama masing-masing.
“Gagal atau berjaya itu belakang kira. Paling penting, anda cuba terlebih dahulu,” simpulnya.
Update terkinitentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Tular baru-baru ini drama dari negara jiran bertajuk "Ipar Adalah Maut" yang membawa elemen drama, dan ketegangan dalam cerita yang penuh konflik kekeluargaan dan...