Mekyun Ajak Normalisasikan ‘Reuse’ Baju Raya Lama, Muat Pakai Kebaya Ibu Sendiri!

Share

Setiap kali tiba musim perayaan Aidilfitri, pastinya antara item yang berada di dalam ‘bucketlist’ masing-masing adalah untuk memiliki baju Raya serba baharu.

Tidak kisahlah jika korang memilih baju Melayu, kurta, baju Kurung, baju Kebaya, Abaya atau apa-apa jenis persalinan sekalipun; asalah baru dibeli tentunya akan menaikkan lagi semangat untuk berhari Raya.

Bagaimanapun jika difikirkan semula, kita bukannya selalu memakai baju tradisional pun, bukan? Paling-paling pun untuk digayakan semasa kenduri perkahwinan (itu pun sekiranya korang tidak perlu memakai baju sama di majlis perkahwinan keluarga sendiri) ataupun jika menghadiri majlis formal.

Selebihnya, percayalah baju Raya itu akan ‘tersidai’ di dalam gerobok korang sepanjang tahun.

Disebabkan itulah, ramai pempengaruh di media sosial pada musim perayaan Aidilfitri kali ini yang mengajak pengikut mereka normalisasikan budaya memakai semula baju Raya lama dan elakkan dari pembaziran dengan membeli baju baharu.

Lagipun harga baju Raya semakin lama semakin tidak masuk akal harganya!

Salah seorang pempengaruh tersebut ialah Mekyun. Gadis berketurunan Cina yang dibesarkan di Kelantan dan fasih berbahasa Melayu ini mengajak pengikutnya untuk membantu dia memilih di antara tiga persalinan baju Kurung dan Kebaya milik ibunya sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tidak Pernah Sesekali Hadapi Isu Perkauman,” – Mekyun Coret Nota Menyentuh Hati Tentang Kampungnya, Kelantan – REMAJA

Siapa sangka, baju yang disimpan sejak tahun 1980-an lagi itu masih cantik kondisinya yang disimpan rapi oleh ibu Mekyun. Malah, potongan baju tersebut juga cantik terletak pada figura anak gadisnya.

“Hari ini Mek Yun nak cuba Baju Kurung dan Baju Kebaya lama mak,” kata Mekyun.

“Mummy simpan untuk Mek Yun ni. Mummy ajar untuk tidak membuang baju-baju yang masih baik lagi,” balas ibunya.

Setelah dia mencuba baju Kurung batik merah jambu, ibunya sendiri terkesima melihat dan bersyukur beliau tidak membuang baju-baju tradisionalnya dahulu.

“Comelnya. Mummy dulu slim lah. Daripada S ke XL sekarang,” selorohnya sebelum menambah, “Ini kain dari Kelantan, buat dekat Kelantan juga,” apabila Mekyun muncul dalam baju Kebaya hijau teal yang juga merupakan baju tradisional kegemarannya daripada ketiga-tiga pasang.

Rata-rata warganet teruja melihat Mekyun mencuba semula pakaian ibunya dan memuji kecantikan fabrik tradisional dahulu kala.

“Kebaya stail dulu-dulu memang comel. Tahan lama pula tu.”

“Suka yang kedua, naik seri Mekyun dengan kebaya merah tu.”

“Slim mak dulu serupa Mekyun sekarang. Baju kebaya tu paling lawa serupa baju pramugari MAS.”

Terdahulu, pelakon, penyanyi dan pelakon filem Imaginur; Takahara Suiko menerusi akaun Instagram telah mengajak orang ramai untuk normalisasikan pemakaian baju Raya lama disebabkan harganya yang semakin tidak masuk akan pada zaman ini.

BACA LAGI: Dulu Terima Anugerah Naib Canselor, Kini Dipilih Hiasi Billboard UTHM. Mekyun Lambang Gadis Cemerlang – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ