“Memaafkan Akhlak Yang Mulia Walau Tidak Mampu Melupakan, DEEP Pesanan Bekas Isteri Dai’ Farhan

Share

Menurut Imam al-Ghazali, “akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu.”

Manakala Ibnu Maskawih menyatakan, akhlak ialah keadaan jiwa seseorang yang mendorong untuk melakukan perbuatan-perbuatan tanpa pertimbangan akal fikiran terlebih dahulu.”

Tingkah laku manusia berkait rapat dengan akhlak yang ada dalam dirinya. Yang membezakan seorang individu dengan individu lain ialah apabila menerima ujian dia redha dengan semuanya.
Amat jarang kita menemui seorang isteri yang dilukai hatinya namun redha serta mampu memaafkan. Begitu juga kalangan remaja yang boleh memaafkan bekas kekasih apabila hatinya dilukai. Namun akhlaklah yang membezakan seorang individu dengan individu lain.

So korang, belajarlah dari sifat-sifat memaafkan agar hati kita terus kuat. Memang deep pesanan bekas isteri dai’ Farhan untuk penulisan keduanya namun memaafkan itu lebih baik dari memusuhi. Walau hatinya dilukai, namun dirinya masih mahu memaafkan. Bacalah perkongsian hatinya yang ditulisnya semalam di fb miliknya..

JANGAN DILUPAI KEBAIKAN DAN KESILAPAN ITU MAAFKANLAH!!!::

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

1. Tulisan ke-2 saya ini telah saya sediakan sebelum saya kongsikan tulisan pertama saya. Tiada daya dan kekuatan melainkan daya dan kekuatan datang dari Allah. Hanya Allah Maha Memberi kekuatan buat hamba2Nya.

2. Penulisan ke-2 saya ini bertujuan untuk mengajak semua untuk kita mengambil hikmah yang baik dan berhenti dari kita melakukan sesuatu ucapan, perkataan atau tindakan yang boleh merugikan kita di kemudian hari. Bab kata pepatah, luka kerana lembing senang diubati, tidak pada luka kerana kata-kata.

3. Ya, saya tidak mampu mengubati luka sesiapa pun yang mungkin terluka dari apa yang berlaku dari peristiwa ujian kami ini terutamanya ahli keluarga saya dan ahli keluarga mertua serta kenalan rapat mahupun tidak, namun saya sangat berharap paling tidak tulisan saya ini mampu menjernihkan kekeruhan hati melanda semua yang terlibat.

4. Pertamanya janganlah dikecam kesilapan yang berlaku tapi sama-sama kita mengambil hikmah yang baik kerana tiada manusia yang sempurna termasuklah diri saya. Ambillah pengajaran yang baik, dan buanglah saki baki yang tidak baik itu jauh-jauh.

5. Saya sesekali tidak mahu menyandarkan perpisahan saya ini dengan meletakkan kesalahannya pada orang lain. Biarlah kami yang melaluinya dengan hati yang redha dan mengakui kelemahan diri sendiri dengan Allah SWT. DIA lah sebaik-baik penilai dan penerima taubat.

6. Dalam perasaan sedih, kecewa, sakit hati, marah dan sebagainya dalam hati kita, jangalah sampai kita melupai setiap kebaikan yang pernah diterima. Saya berharap janganlah kerana kesilapan(isu keluarga saya menjadi viral) segala kebaikan insan-insan terlibat dalam hal ini dilupai begitu sahaja. Namun, segala nasihat yang baik dan bermanfaat silakan untuk memberinya.

7. Sekali lagi saya nyatakan, berilah nasihat yang baik dan usahlah dikecam kerana ia keluar dari akhlak Islam yang sebenar serta berilah kemaafan terhadap kesilapan yang berlaku.

8. Dalam persoalan hak, itu haruslah melalui saluran yang betul. InshaaAllah saya dan pihak keluarga akan mengikuti saranan pihak berautoriti untuk menguruskan kes penceraian ini sebaiknya serta dalam keadaan tertutup.

9. Saya mewakili juga keluarga saya, sahabat saya dan insan-insan yang terlibat secara langsung dalam permasalahan keluarga saya ini, ingin memohon kemaafan jika ada kesilapan yang berlaku dari pihak kami sama ada sedar atau tidak. Terima kasih atas sokongan dan doa dari semua.

"Memaafkan itu akhlak yang mulia walaupun tidak mampu melupakan, Maafkanlah"
Yang benar
(Fatin Nurul Ain)
4 December 2019
4.20 pm

Published by
Almaswa Haji Che Ros