Memang Legend! 13 Pingat Emas Sukan SEA Sudah Ada Dalam Genggaman Ooi Tze Liang

Share

 

Kem terjun negara di Sukan SEA 2022 Hanoi terus memutikkan senyuman dalam kalangan rakyat Malaysia apabila meneruskan kecemerlangan mereka meraih pingat emas dalam acara-acara yang dipertandingkan.

Daripada empat pingat emas yang telah mereka perolehi setakat ini, salah satunya hadir daripada acara 3m papan anjal seirama menerusi atlet terjun lelaki negara, Ooi Tze Liang dan Chew Yi Wei, lewat Ahad lalu. Tze Liang meneruskan rentak cemerlang apabila sekali lagi meraih pingat emas menerusi acara 1 meter papan anjal individu semalam.

Ooi Tze Liang (tengah) bersama pemenang pingat perak dari Singapura, Avvir Tham Pac Lun yang mengutip 286.40 mata dan wakil negara Vietnam, Betrand Rhodict Anak Lises yang pulang dengan pingat sulungnya sebagai pemenang pingat gangsa.

Beliau mempersembahkan enam terjunan kemas dan mengumpul 377.70 mata bagi mengenepikan enam saingan yang lain.

Kejayaan semalam sekaligus mencatatkan rekod dalam karier Tze Liang apabila ia juga merangkap pingat emas Sukan SEA yang ke-13 peribadinya sejak dia menyertai kejohanan dwitahunan ini bermula edisi 2013. Kata Tze Liang kepada rakan media yang berada di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi; perasaan gembira tentunya dirasainya setelah dia berjaya menyempurnakan misinya untuk edisi kali ini.

Atlet terjun lelaki negara, Ooi Tze Liang dan Chew Yi Wei meraih kejayaan mereka dalam acara 3m papan anjal seirama kelmarin.

“Selama penyertaan dalam Sukan SEA, ini adalah pingat emas 1m pertama saya dan pingat emas ke -13 (keseluruhan). Saya rasakan misi saya telah tercapai. Saya juga rasakan saya penerjun pertama yang dapat semua pingat, daripada acara platform ke papan anjal, papan anjal individu ke seirama. (sepanjang pernyertaannya di kejohanan Sukan SEA)

“Jadi dah boleh kata lagenda lah kot,” seloroh penerjun berusia 28 tahun itu.

ARTIKEL BERKAITAN : Dhabitah Sabri Tidak Mengecewakan, Penerjun Tuai Emas Pertama Sukan SEA 2022 – REMAJA

Setelah episod wabak COVID-19 yang melanda dunia selama dua tahun lalu mengehadkan penyertaan kem terjun negara di pertandingan peringkat antarabangsa, ia secara tidak langsung menerbitkan cabaran buat para atlet kerana perlu terus meneruskan konsistensi aksi biarpun telah lama tidak mendapat momentum dari satu pertandingan ke pertandingan seterusnya.

Tahniah Tze Liang!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ